‘Perang’ dua blok politik antara kerajaan dan pembangkang kembali meraih perhatian ramai.
Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan keyakinan bahawa Kerajaan Madani mempunyai kelebihan memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU) jika diadakan dalam tempoh terdekat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, keyakinan tersebut berdasarkan kerangka pentadbirannya yang mementingkan aspek pengurusan ekonomi.
Pada masa sama, Menteri Kewangan itu turut menyentuh mengenai prestasi Kerajaan Madani dan barisan Jemaah Menteri sepanjang dua tahun pentadbiran yang mana ia masih boleh diperbaiki pada masa depan.
Sehubungan itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencabar Anwar supaya membubarkan Parlimen sekiranya benar-benar yakin dengan perkara tersebut.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyokong dan berharap perkara itu akan menjadi kenyataan kerana mendakwa rakyat kini sudah tidak sabar mahu mengubah kerajaan.
Bagaimanapun, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berpandangan bahawa kerajaan pimpinan Anwar berdepan cabaran untuk mengekalkan kemenangan sekiranya PRU16 diadakan dalam waktu terdekat.
Beliau berkata, pandangan itu mengambil kira beberapa faktor khususnya dalam aspek kerjasama politik dan jaminan sokongan segmen Melayu.
Sekarang bukan waktu sesuai untuk mengadakan PRU16 sebaliknya, usaha wajar memfokuskan ke arah menyelesaikan isu rakyat termasuk berkaitan ekonomi, inflasi, peluang pekerjaan, kos sara hidup tinggi dan sebagainya.
Ini kerana, rakyat kini masih dibelenggu masalah berkenaan malah ditambah pula dengan banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini yang mana telah menambahkan beban.
Justeru, semua pihak diingatkan untuk mengelak daripada membawa naratif yang boleh menyebabkan perpecahan dan diharapkan segala isu rakyat dapat diselesaikan dengan baik.