Ahmed al-Sharaa wira baharu Syria

Iklan
Ahmed al-Sharaa berucap selepas berjaya menggulingkan Presiden Bashar al-Assad di Damsyik

DAMSYIK - Sebagai komander cawangan al-Qaeda dalam Perang Saudara Syria, Abu Mohammed al-Jolani merupakan seorang anggota pimpinan yang misteri dan sentiasa mengelak daripada menjadi perhatian umum, walaupun kumpulannya menjadi puak paling berkuasa menjatuhkan Presiden Syria Bashar al-Assad, baru-baru ini.

Kini, beliau yang menukar nama kepada Ahmed al-Sharaa merupakan individu paling terkenal di Damsyik selepas menjenamakan semula kumpulannya dan memimpin puak pembebas Syria.

Iklan
Iklan

"Masa depan kini milik kita,” kata al-Sharaa dalam satu kenyataan yang disiarkan stesen TV tempatan, di mana beliau turut menekankan peranan utama yang akan beliau pegang selepas 50 tahun di bawah pimpinan dinasti Assad.

Menarik perhatian kepada usahanya untuk memastikan peralihan teratur, beliau mengisytiharkan institusi-institusi negara akan kekal di bawah kawalan Perdana Menteri dilantik Assad sehingga berlaku peralihan jawatan.

Iklan
Sekumpulan lelaki bergambar dengan bendera Syria semasa menyambut penyingkiran kerajaan Assad di Syaria.

Dengan berpakaian seragam tentera, al-Sharaa juga melawat Masjid Umayyad yang dibangunkan sejak abad kelapan di Kota Lama Damsyik, sambil diiringi penyokong yang merakam detik itu sambil melaungkan 'Allahuakbar!'.

Sebelum muncul sebagai wira Hayat Tahrir Al-Sham (HTS), iaitu sebuah kumpulan yang sebelum itu dikenali sebagai Barisan Nusra, beliau pernah bergelar komander cawangan al-Qaeda ketika perang saudara tercetus di Syria.

Iklan

Berusia awal 40-an, beliau merupakan pemimpin paling digeruni dalam kalangan puak penentang rejim Assad selepas memutuskan hubungan dengan al-Qaeda pada 2016.

Tubuh Barisan Nusra

Sebagai jaminan kepada kumpulan minoriti Syria yang selama ini khuatir dengan nasib mereka di bawah kepimpinan baharu, al-Sharaa bertindak meredakan kebimbangan golongan itu.

"Al-Sharaa lebih bijak berbanding Assad. Beliau telah melakukan pembaharuan, menjalin hubungan dengan sekutu-sekutu baharu, dan tampil dengan kempen bagi memikat hati golongan minoriti,” kata pakar Syria dan ketua Pusat bagi Kajian Timur Tengah di Universiti Oklahoma, Joshua Landis.

Ahmed al-Sharaa (dua dari kiri) bergambar dengan delegasi Kementerian Luar Jerman di Damsyik.

Kumpulan HTS di bawah pimpinan beliau pernah diisytihar sebagai kumpulan pengganas oleh beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS).

Pada 2013, Washington menyenaraikan al-Sharaa sebagai pengganas dan mendakwa al-Qaeda di Iraq telah menugaskannya untuk menggulingkan pemerintahan Assad dan menubuhkan undang-undang Islam di negara bergolak itu.

Sejak Assad mula memerintah lebih sedekad lalu, al-Sharaa dan Barisan Nusra tampil sebagai puak paling berkuasa berbanding beberapa puak penentang yang sedia ada.

Sebelum menubuhkan Barisan Nusra, al-Sharaa merupakan anggota al-Qaeda di Iraq dan pernah dipenjarakan selama lima tahun di AS.

Beliau kembali semula ke Syria sebelum berlaku pemberontakan, dihantar oleh ketua Daesh di Iraq pada ketika itu, Abu Omar al-Baghdadi bagi menggerakkan semula operasi al-Qaeda.

Beliau bersetuju terlibat wawancara bersama media buat kali pertama pada 2013, di mana al-Sharaa tampil dengan seluruh wajahnya ditutup dengan skaf berwarna hitam sambil membelakangkan kamera.

Menerusi temu bual bersama Al Jazeera, al-Sharaa menyeru agar Syria ditadbir di bawah undang-undang Islam.

Al-Sharaa turut menyelar gelaran pengganas yang dilemparkan terhadapnya sebagai tidak adil.

Beliau bahkan membantah pembunuhan orang tidak berdosa yang dilakukan rejim Assad.

Beliau mendedahkan Barisan Nusra telah berkembang dan merekrut lebih 5,000 anggota dalam tempoh setahun.

Al-Sharaa menjelaskan gerakan itu tidak pernah menimbulkan ancaman kepada negara Barat.

"Saya tegaskan sekali lagi, penglibatan kami dengan al-Qaeda sudah berakhir,” katanya. - Agensi