KUANTAN - Kakak kepada lelaki ditemui meninggal dunia dalam kereta pada Sabtu lalu selepas dilaporkan hilang tidak menyangka luahan terakhir adiknya, Safri Mohd Ali, 55, mengatakan hanya dia satu-satunya yang masih 'tinggal' menjadi petanda pemergiannya.
Noraini, 56, berkata, luahan itu disampaikan sehari sebelum Safri atau lebih mesra dipanggil Awie hilang pada 13 Disember lalu, selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik Kesihatan Kurnia di sini.
Menurutnya, arwah meluahkan rasa kesunyian apabila ramai kenalannya telah kembali kepada pencipta dan seolah-olah memberi gambaran sesuatu yang bakal terjadi terhadapnya.
"Arwah Awie ada cakap pada saya, bila pergi hospital, kenapa Awie seorang sahaja yang ada, kawan-kawannya lain semua sudah tiada.
"Saya dengan bergurau, ada jawab, memang tahu, kawan-kawan dia di Tanjung Lumpur dan Peramu pun sudah tiada,” katanya pada petang Ahad.
Noraini yang menjadi tempat bergantung adiknya itu mengakui tidak dapat menahan sebak apabila mengenang kata-kata itu, selain sempat menasihatkan supaya arwah berubah.
"Saya sempat berpesan, maknanya (arwah) Awie kena bertaubat. Solat taubat sekali pun tak apa.
"Bila saya cakap begitu, arwah suka tersenyum dan saya nampak arwah lain daripada kebiasaan, tapi tidak sangka itu adalah petanda," ujarnya yang bekerja sebagai tukang cuci.
Noraini yang telah menjaga adiknya sejak berusia 20 tahun itu mengakui hubungan mereka sangat akrab dan arwah adiknya sering menghadapi masalah kesihatan seperti asma.
Bercerita lanjut, Noraini berkata, pada hari kehilangannya, arwah memaklumkan hasrat untuk pergi mengambil ubat di klinik dan tidak mahu ditemani sesiapa.
Dia bagaimanapun akur dengan permintaan arwah sebelum bersiap untuk pergi bekerja, namun berpesan agar arwah tidak menunggang motosikal.
"Saya suruh dia bawa kereta, jangan motosikal. Saya tahu dia alami asma teruk, tapi arwah tetap berdegil mahu pergi sendiri.
"Pagi itu, saya dapat rasa ada sesuatu yang tidak kena. Semputnya pun berbeza berbanding sebelumnya," katanya sambil mendakwa arwah sempat ke sebuah restoran di Sungai Isap selepas mendapatkan rawatan di klinik tersebut.
Ditanya mengenai perubahan sikap arwah, Noraini berkata, arwah, seorang pendiam dan tidak banyak kerenah sepanjang mereka tinggal bersama.
"Orang hendak meninggal, kita memang tidak tahu. Tapi kebelakangan ini, arwah selalu senyap dan asyik melihat telefon sahaja.
"Namun, sekarang sudah sampai masanya ALLAH menjemput arwah. Saya reda, walaupun sangat sedih," katanya.
Selain itu, Noraini memberitahu selama enam bulan terakhir, dia tidak pernah gagal memasak nasi goreng untuk arwah setiap pagi sebelum keluar bekerja atas permintaan adiknya.
"Itulah makanan yang arwah makan setiap hari. Kalau hujung minggu, saya akan belikan nasi kerabu atau nasi kukus untuknya.
"Orang yang hendak meninggal, kita tidak tahu. Sekarang sudah sampai masanya, saya reda walaupun sedih sangat,” jelasnya dengan nada sayu.
Pada Sabtu, Safri ditemukan meninggal dunia di dalam kereta di kawasan parkir berhampiran sebuah restoran di Sungai Isap di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu dilaporkan berkata Safri Mohd Ali yang beralamat di Kampung Hijrah di sini, dijumpai orang awam di dalam kereta Perodua Viva sekitar 4 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri
Sebelum ini, Safri dilaporkan hilang sejak keluar dari rumah kira-kira 8 pagi 13 Disember lalu dengan memandu kereta Perodua Viva untuk mengambil ubat di Klinik Kesihatan Kampung Kurnia, di sini.
Laporan kehilangannya dibuat adik Safri, pada 14 Disember di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.