[VIDEO] 'Kami disangka lanun ketika minta bantuan'

Iklan

BAYAN LEPAS - Pengalaman disangka lanun tidak akan dilupakan oleh dua nelayan yang hilang selama enam hari selepas keluar memukat ikan pada jam 3 petang Isnin minggu lalu.

Muhamad Ikmal Hakimi Ismail, 22, berkata, kru salah sebuah kapal kargo telah mengacukan kayu besar kepadanya dan rakan, Nor Hasrul Abdullah, 25, apabila mereka berenang menghampiri kapal kargo berkenaan untuk meminta bantuan.

Iklan
Iklan
Susulan daripada itu, dia dan Nor Hasrul pasrah dengan nasib mereka apabila tiada bantuan selepas hari keempat mereka hanyut disebabkan enjin bot yang dinaiki rosak.

Nor Hasrul (kiri) dan Muhamad Ikmal sujud syukur di atas kapal KM Burau milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang selepas mereka berdua diselamatkan.

"Kami tunggu bantuan tapi tak ada. Masuk hari keempat, kami rasa memang dah tak ada bantuan. Sebab tu, bila nampak kapal, kami ambil keputusan pergi minta tolong.

"Kami lambai dan berenang ke salah sebuah kapal kargo untuk meminta bantuan tetapi anak kapal angkat kayu nak baling ke arah kami. Mereka ingat kami lanun. Tak sempat nak minta tolong, kami berenang semula ke bot," katanya ketika ditemui di Jeti Limbongan Batu Maung di sini pada Isnin.

Iklan

Bercerita lanjut, Muhammad Ikmal yang juga berstatus orang kurang upaya masalah pembelajaran berkata, bekal makanan yang dibawa telah habis pada hari pertama mereka hanyut menyebabkan mereka terpaksa makan ikan mentah dan minum air laut untuk bertahan hidup.

Muhamad Ikmal memeluk dan mencium ibunya, Hanita Ismail ketika kali pertama ditemukan semula selepas hanyut di laut selama enam hari.

"Selepas bekal makanan habis pada hari pertama, kami berpuasa sehingga hari ketiga. Masuk hari ketiga, kami terpaksa makan ikan kembung dan cencaru, minum air laut.

Iklan

"Mula-mula tu, muntah. Memang memualkan tetapi terpaksa juga sebab kami tak ada makanan langsung. Kami makan bukan banyak, sekadar alas perut saja," ujarnya.

Dia yang juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berkata, mereka juga menjadikan pukat sebagai selimut sepanjang berada di laut.

"Hari pertama tu dah hujan dan ribut. Kami keluar ke laut jam 3 petang tapi jam 6 petang tali untuk menghidupkan enjin putus. Kami cuba cara manual tapi payah sebab ombak tinggi.

"Hari keempat pun ribut dan hujan. Kami tak ada apa untuk berselindung, kami ambil pukat untuk dijadikan selimut.

"Itu pun, ada pukat yang kami dah buang sebab bot semakin condong dan air dah mula masuk. Kami takut bot tenggelam," tambahnya.

Muhamad Ikmal yang berasal dari Titi Teras, Balik Pulau berkata, dia dan Nor Hasrul hanya memikirkan mati selepas tiada bantuan pada hari keempat mereka hanyut.

"Kami amat tertekan, masuk hari kedua, kami bergaduh. Gaduh sampai jatuh ke laut, naik bot, gaduh balik. Menyalahkan satu sama lain. Dua hari kami bergaduh.

"Tertekan sebab tiada bantuan langsung. Masa tu, hanya fikir mati saja. Tetapi pada hari keempat, kami rasa dah masuk perairan Indonesia sebab nampak banyak kapal kargo di situ," katanya.

Nor Hasrul mencium ibunya, Noor Azilah Jamaluddin ketika ditemui di Jeti Limbongan Batu Maung pada Isnin.

Muhamad Ikmal berkata, dia tidak dapat menghubungi sesiapa selepas telefon bimbit mereka kehabisan bateri.

"Kami akhirnya dibantu oleh nelayan Indonesia di perairan Acheh selepas kami jerit meminta bantuan. Banyak kali juga, dekat-dekat setengah jam.

"Syukur kepada ALLAH SWT kerana memanjangkan usia kami dan akhirnya boleh pulang ke pangkuan keluarga. Saya tak serik sebab minat (turun ke laut). Tetapi jika keluarga tak izin, saya tak boleh buat apa," katanya.

Sementara itu, Nor Hasrul dari Paya Kongsi berkata, dia tidak serik untuk turun ke laut lagi selepas kejadian tersebut.

"Saya berpengalaman sebagai nelayan setahun lebih. Ini kejadian pertama hanyut ke laut selama enam hari dan saya tetap akan turun ke laut.

"Terima kasih kepada semua yang membantu terutamanya pasukan menyelamat dan nelayan Indonesia," katanya.

Sebelum ini, dua lelaki dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki mereka hanyut di perairan Pantai Keracut, Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau pada malam Selasa.

Kedua-dua mangsa didapati menaiki sebuah bot berwarna biru dan merah yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.

Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mencari mereka telah dihentikan pada Sabtu selepas tiada petunjuk tentang kehilangan mereka.

Operasi telah meliputi sehingga 4,802 batu nautika bersamaan 8,884 kilometer persegi sehingga ke negara sempadan.