BAYAN LEPAS - Kedua-dua nelayan yang hilang enam hari selepas keluar memukat ikan diselamatkan oleh nelayan Indonesia di sempadan Malaysia-Indonesia pada jam 9 pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, bot yang dinaiki kedua-dua mangsa telah melepasi sempadan negara dan telah memasuki ke sempadan Indonesia.
"Bot yang dinaiki kedua-dua mangsa telah memasuki sempadan Acheh, Indonesia yang mana, jarak dari sini ke sempadan Malaysia adalah sejauh 60 batu nautika.
"Jarak melepasi sempadan ke Acheh pun agak jauh juga. Mereka diselamatkan oleh nelayan Indonesia sebelum dibawa oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ke sini awal pagi tadi," katanya pada sidang akhbar di Jeti Limbongan Batu Maung di sini pada Isnin.
Sebelum ini, dua lelaki dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki mereka hanyut di perairan Pantai Keracut, Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau pada malam Selasa.
Mangsa, Muhammad Ikmal Hakimi Ismail dari Titi Teras yang juga berstatus orang kurang upaya masalah pembelajaran dan rakannya, Nor Hasrul Abdullah, 25 dari Paya Kongsi dilaporkan hilang pada jam 7 malam selepas bot yang dinaiki mereka dikatakan mengalami kerosakan enjin.
Kedua-dua mangsa didapati menaiki sebuah bot berwarna biru dan merah yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.
Mengulas lanjut, Sazalee berkata, polis menerima maklumat daripada nelayan Indonesia mengenai penemuan kedua-dua mangsa pada jam 9 pagi Ahad.
"Selepas menerima maklumat tersebut, kita telah menggerakkan kapal Maritim Malaysia dari Jeti Limbongan Batu Maung untuk pergi menyelamatkan mangsa di sempadan Malaysia.
"Maritim Malaysia telah menyelamatkan mangsa pada jam 8 malam tadi sebelum membawa mereka pulang dan sampai ke sini pada jam 3 pagi tadi," katanya.
Tambah beliau, kedua-dua mangsa berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan namun agak kelesuan.
"Mereka 'survival' sebab itu boleh bertahan. Kita turut membawa pulang bot mereka.
"Bot itu pun dalam keadaan baik, cuma mengalami kerosakan pada enjin sahaja.
Sebelum itu, kedua-dua mangsa menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pasukan kesihatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang turut berada di jeti berkenaan.
Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk pemeriksaan selanjutnya sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.