KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan kempen LESTARIPendidikan, satu inisiatif strategik untuk memastikan pendidikan tinggi kekal inklusif, mampan dan relevan bagi generasi akan datang.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, kempen tersebut bertujuan untuk memperkukuhkan mesej penting tentang tanggungjawab sosial dan kewangan peminjam dalam menjamin kelestarian dana pendidikan negara.
Jelasnya, kempen ini juga mencerminkan komitmen PTPTN untuk menyokong visi kerajaan, termasuk konsep Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan, keadilan sosial dan kemampanan.
Menurutnya, selari dengan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Dasar Pendidikan Tinggi Negara, PTPTN terus berusaha memastikan setiap individu tanpa mengira latar belakang, mendapat peluang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi tanpa beban kewangan.
"Pendidikan tinggi adalah pemangkin pembangunan masyarakat yang progresif dan kelestarian dana pendidikan adalah kunci kepada kejayaan ini.
"Mesej utama kempen ini adalah untuk memperkasakan rakyat melalui pendidikan tinggi di samping membantu peminjam menyelesaikan tanggungjawab membayar hutang PTPTN dengan lebih berkesan," katanya pada Isnin.
Terdahulu beliau merasmikan Kempen Lestari Pendidikan: Usaha Membantu Peminjam Ke Arah Kelestarian Dana Pendidikan Negara di Menara PTPTN di sini.
Hadir sama, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Norliza mengulas lanjut berkata, pendidikan tinggi ialah landasan untuk meningkatkan taraf hidup yang hanya dapat direalisasi jika dana pendidikan kekal mampan.
"Setiap pembayaran balik adalah pelaburan kepada masa depan pendidikan generasi akan datang dan dengan dana diterima melalui bayaran balik, PTPTN dapat terus menyokong 450,000 peminjam sedia ada dan 150,000 peminjam baharu setiap tahun, terutama dari kalangan keluarga berpendapatan rendah.
"Ini melibatkan jumlah yang besar iaitu lebih RM3 bilion setahun,” tambah beliau.
Dalam pada itu, ujarnya, sehingga September 2024, tunggakan pinjaman PTPTN adalah berjumlah RM11.32 bilion melibatkan lebih 1.25 juta peminjam culas.
Namun, PTPTN mengambil pelbagai langkah termasuk penghantaran surat peringatan, notis tuntutan rasmi dan memperkenalkan pelbagai mekanisme seperti pelan pembayaran fleksibel iaitu penstrukturan semula bayaran balik pinjaman.
Menurut Norliza lagi, kempen LESTARIPendidikan merangkumi inisiatif yang dirangka untuk meringankan beban peminjam iaitu #PTPTNBolehBincang.
"Peminjam boleh berbincang atau berunding untuk pelan pembayaran fleksibel iaitu penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan mereka.
"Melalui kempen ini, PTPTN juga melaksanakan pendekatan proaktif iaitu inisiatif#PTPTNSediaBantu bagi memudahkan peminjam berurusan dengan menyediakan pelbagai saluran bayaran balik yang lebih mudah, cepat dan selamat.
"Saluran tersebut disediakan untuk membantu dan memudahkan para peminjam yang mempunyai sebarang
pertanyaan atau urusan berkaitan bayaran balik pinjaman,” jelas beliau lagi.
Kempen ini turut menyeru masyarakat termasuk pihak berkepentingan seperti universiti, alumni dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama menyokong usaha ini dan memainkan peranan sebagai rakan dalam menyampaikan mesej positif mengenai tanggungjawab sosial pembayaran balik pinjaman PTPTN.
Norliza berkata, PTPTN menekankan bahawa kegagalan membayar balik bukan sahaja menjejaskan dana tetapi juga masa depan ribuan pelajar yang memerlukan.
"Melalui sokongan masyarakat dan tindakan kolektif, kita dapat memastikan sistem pendidikan tinggi terus kukuh dan inklusif selaras dengan aspirasi negara,” ujarnya.
LESTARIPendidikan bukan sekadar kempen tetapi simbol komitmen dan harapan untuk memastikan pendidikan tinggi kekal sebagai platform pemerkasaan dan pembangunan sosial.