KUALA LUMPUR - Tawar keuntungan hampir RM500,000 antara taktik sindiket penipuan bida batu jed.
Tinjauan Sinar Harian selama dua hari sejak Sabtu lalu mendapati ada beberapa akaun disyaki ahli sindiket penipuan dalam talian mencari 'mangsa' untuk membida batu jed tersebut dengan bayaran tertentu.
Sindiket berkenaan meminta wang serendah RM250 hingga RM2,000 daripada individu yang berminat untuk menyertai skim bida tersebut.
Selepas pembidaan dibuat, sindiket berkenaan akan memotong batu tersebut dan sekiranya berwarna hijau, pembida akan memperoleh keuntungan antara RM60,000 hingga RM450,000.
Bahkan, ada ahli sindiket sanggup memaki dan memarahi pemilik akaun Facebook lain yang mendakwa mereka adalah 'scammer', malah komen individu berkenaan turut dibuang.
Ahli sindiket itu turut mendakwa maklumat biodata di 'page' berkenaan adalah benar, namun setelah Sinar Harian menyemak ia merupakan alamat tandas awam di sebuah taman rekreasi di negara jiran.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf ketika dihubungi pada Isnin berkata, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dengan taktik penipuan yang semakin licik.
"Orang ramai dinasihatkan jangan sesekali percaya, ini memang menipu, kalau ada orang dapat banyak keuntungan seperti itu, mereka tidak akan tunjuk kepada umum," katanya.
Ramli berkata, mereka yang mudah terpengaruh dengan tawaran sebegini boleh dikategorikan dalam golongan 'jahil dan tamak'.
"Ia kerana mereka gagal mengetahui latar belakang sesuatu bentuk pelaburan dan sangat mudah terdorong kepada janji pulangan lumayan," katanya.