KOTA BHARU - Beberapa orang remaja yang ditahan dipercayai terlibat aktiviti lumba haram di Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai di sini pada Isnin memberi alasan bosan duduk di rumah semasa cuti sekolah.
Mereka antara hampir 100 penunggang motosikal yang ditahan semasa operasi bermula pada jam 11.30 malam itu.
Remaja yang dikenali sebagai Amir, 15, memberi alasan dia bersama abang dan lima lagi rakan masing-masing ke lokasi tersebut dengan tujuan untuk menyertai acara bermotosikal.
"Saya hanya ikut kawan-kawan. Lagi pun, cuti sekolah baru mula. Saya bosan duduk di rumah dan mahu memenuhi masa lapang pada waktu malam.
Menurut Amir, susulan itu dia menerima beberapa saman polis melibatkan kesalahan seperti tiada lesen memandu, mengubah suai motosikal dan tidak mempunyai cermin pandang belakang.
Ujarnya, pada masa sama dia turut disaman kerana motosikalnya tidak mempunyai nombor pendaftaran.
Sementara itu, seorang lagi pelajar sekolah, Hadi, 17, berkata, dia ke lebuh raya itu kerana mahu melihat kegiatan lumba motosikal.
Dia sama sekali tidak menyangka tindakan itu mengundang padah selepas ditangkap polis.
"Saya datang ke sini untuk tengok orang berlumba sahaja, tiba-tiba ada operasi polis pula,” katanya.
Dalam operasi itu, pihak polis bertindak menutup laluan dua kawasan hujung lebuh raya tersebut di Buloh Poh dan Padang Enggang di sini selain simpang di Perol semasa hampir 100 motosikal masuk ke jalan tersebut untuk berlumba.
Keadaan itu menyebabkan mereka terkepung di kawasan lebuh raya itu sehingga ada yang mengangkat motosikal melintasi pembahagi jalan untuk lolos, namun tetap dicekup pihak polis.