TUMPAT - Seorang tekong darat sanggup memandu dalam keadaan berbahaya dan melanggar beberapa buah kenderaan orang awam demi menyelamatkan diri daripada dicekup selepas membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kampung Bechah Temalang di sini pada Ahad.
Dalam kejadian jam 7.40 malam itu suspek seorang lelaki berjaya meloloskan diri dalam kegelapan malam dan meninggalkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza bersama 10 PATI warganegara Myanmar.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan terbabit telah menemukan seorang kanak-kanak perempuan, dua wanita dan tujuh lelaki.
"Kenderaan dipandu suspek telah dikesan semasa unit kereta peronda melakukan rondaan di Jalan Terbak.
Menurut beliau, suspek enggan berhenti dan telah bertindak melarikan diri dengan memecut laju serta memandu secara berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain menghala ke jalan Wakaf Bharu.
Ujarnya, kereta peronda terus mengekori dengan jarak yang selamat dan telah menghubungi Gerakan Tumpat untuk meminta bantuan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan anggota ronda cegah jenayah dari Balai Polis Wakaf Bharu.
Mohd Khairi memberitahu, apabila sampai di Jalan Kampung Bechah Temalang, suspek telah bertindak melanggar beberapa kenderaan awam sebelum terbabas.
"Lelaki terbabit bertindak melarikan diri manakala kesemua PATI berjaya ditahan.
"Pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit mendapati nombor pendaftarannya adalah palsu dan kesemua tangkapan dibawa ke IPD Tumpat untuk siasatan lanjut," katanya.
Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan, 55E Akta Imigresen dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
Ujarnya orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menghubungi talian 09-7257222.