KUANTAN - Tahap kepatuhan peniaga di negeri ini terhadap Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) amat baik apabila tiada sebarang kes direkodkan sepanjang pelaksanaan skim itu tahun ini.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri, Sim Chon Siang berkata, ia termasuk pada SHMMP sempena Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali lalu.
Menurutnya, peniaga diingatkan terus mematuhi peraturan ditetapkan di bawah skim itu iaitu tidak menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum dan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan tersebut.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.
" Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum berdepan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala denda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000 bagi syarikat.
"Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu,didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 bagi individu dan boleh denda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000 bagi syarikat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pemeriksaan dan 'walkabout' SHMMP Krismas di sebuah pasar raya besar di Indera Mahkota di sini pada Isnin.
Chon Siang berkata, bekalan bagi barangan keperluan termasuk yang diwartakan di bawah SHMMP kali ini mencukupi dan dijual dengan harga lebih murah.
Beliau berkata, dalam tempoh pelaksanaan SHMMP kali ini, pegawai penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan SHMMP ini bukan sahaja di pasar raya malah di premis kedai runcit juga.
"Pada masa masa, orang ramai juga diminta menjadi mata dan telinga kementerian selaras dengan inisiatif 'Kita Gempur' membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan serta barang kawalan bersubsidi.
"Sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga boleh dilaporkan melalui pelbagai medium penyaluran disediakan," katanya.
Sementara itu, Chon Siang berkata, sepanjang tahun ini, penguat kuasa KPDN Negeri Pahang telah menjalankan pemeriksaan ke atas 67,129 premis perniagaan di setiap rantaian seluruh Negeri Pahang.
"Sebanyak 601 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan lebih RM1.4 juta dan kompaun RM283,050," katanya.
Hanya 13 kes di Perak
Sementara itu, KPDN Perak hanya mencatatkan 13 kes melibatkan pelbagai kesalahan sepanjang pelaksanaan SHMMP bagi tahun 2024.
Jumlah kes paling tinggi dicatatkan ketika SHMMP Hari Raya Aidilfitri iaitu sebanyak tujuh kes diikuti SHMMP Tahun Baharu Cina sebanyak lima kes dan SHMMP Deepavali sebanyak satu kes.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Perak, Mohamad Kamarol Mat Nor berkata, jumlah kes yang rendah menunjukkan bahawa peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi setiap siri SHMMP bermula Tahun Baharu Cina sehingga Deepavali.
Menurutnya, tempoh pelaksanaan skim yang pendek juga membolehkan peniaga akur dengan harga ditetapkan bagi mengelak sebarang tindakan penguatkuasaan.
"Kalau ikutkan dari segi kes yang kita ambil untuk pelaksanaan skim harga maksimum ini sebenarnya tak banyak. Jadi kalau kita tengok peniaga patuh (arahan) sebab dari segi pelaksanaan pun kita tak buat tempoh yang panjang.
"Jadi kebanyakan peniaga sanggup untuk mematuhinya dan jika gagal kita akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan SHMMP Krismas 2024 di Pasar raya Besar Mydin Meru Raya di sini pada Isnin.
Hadir sama Pengurus Mydin Wilayah Utara, Kuldipjeet Singh.
Mohamad Kamarol berkata, sebelum penetapan harga barangan dibuat bagi setiap SHMMP, rundingan dilakukan bersama pelbagai pihak di peringkat negeri dan persekutuan.
Menurutnya, ia dilakukan bagi memastikan peniaga dan peruncit boleh mematuhi harga yang ditetapkan sepanjang pelaksanaan skim berkenaan.
Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Pengarah KPDN Perak menegaskan bagi SHMMP Krismas tahun ini, sebanyak sembilan jenis barangan ditetapkan harga maksimum bermula 23 hingga 27 Disember ini.
Justeru katanya, seramai 197 penguat kuasa dan 74 Pegawai Pemantau Harga akan melaksanakan pemeriksaan serta pemantauan di lokasi-lokasi strategik sepanjang tempoh berkenaan.
Jelasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim berkenaan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Sehubungan itu katanya, orang ramai boleh menyalurkan aduan jika mendapati terdapat peniaga yang tidak mematuhi undang-undang melalui pelbagai saluran ditetapkan atau ke pejabat KPDN berhampiran.