Berhabis lebih RM100,000 elak chalet musnah dibadai ombak

Iklan
Nor Suhana menunjukkan benteng berbatu yang dibina sejak empat tahun lalu bagi mengelak chaletnya musnah akibat fenomena hakisan pantai.

BESUT - Fenomena hakisan pantai yang berlaku saban tahun membelenggu seorang pengusaha chalet kerana terpaksa membelanjakan lebih RM100,000 untuk membina benteng berbatu bagi mengelak premis tersebut musnah dibadai ombak.

Pengusaha Chalet Layaran, Nor Suhana Zakaria, 40, berkata, hakisan yang berlaku berdekatan chalet dibina di Pantai Teluk Bayu, Kuala Besut di sini menyebabkan jarak antara bangunan tersebut dengan kawasan pantai kurang 10 meter.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan semakin meruncing akibat fenomena air pasang besar yang melanda pada musim tengkujuh kali ini.

"Sebelum ini, kawasan pantai berada kira-kira 100 meter (m) dari chalet, namun disebabkan berlaku hakisan saban tahun, jarak antara chalet dengan laut hanya tinggal kurang 10 meter.

Iklan

"Saban tahun, sejak empat tahun lalu kami terpaksa mengeluarkan belanja sendiri untuk membina benteng menahan hakisan daripada memusnahkan chalet yang dibina sejak 2019 ini," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Teluk Bayu, Kuala Besut di sini, baru-baru ini.

Jelasnya, masalah itu telah berlarutan sejak empat tahun lalu iaitu pada 2020, selepas benteng pemecah ombak dibina kira-kira 2 kilometer (km) dari chalet berkenaan.

Iklan

Nor Suhana menunjukkan benteng berbatu yang dibina musnah dibadai ombak ketika air pasang besar baru-baru ini.

"Pembinaan benteng pemecah ombak tersebut masih dalam proses dan belum siap sepenuhnya menyebabkan kawasan berdekatan yang berisiko menerima tempias akibat fenomena hakisan pantai.

"Sejak itu, kami terpaksa ambil inisiatif sendiri dengan membina benteng penahan hakisan. Benteng terbaharu yang kami bina pada akhir November lalu telah runtuh dan terpaksa berhabis dalam RM20,000 pada awal Disember lepas untuk membina benteng baharu menggunakan batu.

"Jika keadaan ini berterusan, chalet ini akan menerima nasib sama seperti peniaga lain. Kebanyakan premis perniagaan mereka musnah dibadai ombak kuat ketika fenomena air pasang besar baru-baru ini," jelasnya.

Dalam pada itu, Nor Suhana berkata, masalah hakisan yang berlaku turut menjejaskan sumber pendapatannya terutama sewaan bilik yang merosot lebih 50 peratus.

"Dulu sewa bilik dalam sebulan mencecah sehingga RM20,000, kini pendapatan tidak menentu dan merosot teruk. Kami hanya dapat antara RM3,000 hingga RM5,000 sahaja dan ia tidak mampu menampung kos operasi.

"Sebelum ini kami terima ramai pelanggan. Kebanyakan mereka berkunjung ke sini untuk menikmati pemandangan pantai yang indah serta melakukan aktiviti riadah di kawasan ini.

"Malangnya, semua itu musnah ditelan ombak termasuk pondok dan buaian yang disediakan di chalet ini," katanya.