Bekas pengurus kewangan syarikat didakwa palsukan tandatangan surat daftar MIA

Iklan
Gambar hiasan. Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Bekas pengurus kewangan syarikat pemaju mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin atas pertuduhan memalsukan tandatangan dalam surat pengesahan bagi pendaftaran ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA), dua tahun lepas.

Tan Cheng Leng, 34, didakwa menggunakan surat pengesahan majikan daripada Upicon Reagan Sdn Bhd sebagai tulen bagi pendaftaran menjadi ahli MIA dengan memalsukan tandatangan pengarah syarikat itu, Datuk Chai Ming Foo, 54, dengan niat menyebabkan surat itu dipercayai telah dibuat, ditandatangani dan disempurnakan oleh Ming Foo kepada pihak MIA.

Iklan
Iklan

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan itu di institut berkenaan di Bangsar South City, Brickfields di sini pada 8 September 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas alasan dia kini tidak bekerja dan perlu menjaga keluarga.

Majistret Aina Azahra Arifin membenarkan Cheng Leng diikat jamin RM4,700 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Februari depan untuk sebutan kes. - Bernama

Iklan