PASIR SALAK - Anggota polis yang ditemui lemas ketika mandi berhampiran tali air pintu gerbang Changkat Lada, Kampung Gajah di sini sempat menjerit meminta tolong.
Dalam kejadian sekitar jam 2 petang pada Ahad itu, Allahyarham Koperal Muhammad Taufik Sayutin, 39, meminta bantuan daripada rakan-rakannya sebelum dihanyutkan arus deras.
Rakan Allahyarham yang mahu dikenali sebagai Kijai, 39, berkata, dia bersama lapan rakan lain yang berada di lokasi kejadian terjun ke tali air sebaik mendengar jeritan itu untuk menyelamatkan mangsa, namun gagal.
"Saya nampak arwah seperti kepenatan ketika berenang ke tebing. Saya ketika itu sudah berada atas tebing dan sempat dengar arwah jerit 'tolong aku'.
"Sekelip mata selepas itu arwah tenggelam, saya dan rakan terjun semula dalam tali air untuk capai tangan arwah, tetapi tak sampai.
Pesara tentera itu berkata, mereka melakukan aktiviti mandi di tali air tersebut bagi memenuhi hasrat Allahyarham sebaik selesai acara perjumpaan semula (reunion) sekolah yang mengadakan pertandingan bola sepak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changkat Lada.
Katanya, sejak seminggu lalu, arwah sangat teruja untuk menghadiri acara perjumpaan semula itu hingga berkali-kali meluahkan keinginan untuk mandi tali air yang terletak tidak jauh dari kawasan sekolah.
"Sebelum balik sini lagi dia dah beritahu habis main bola, dia nak mandi di ban (tali air).
"Dia sebut perkara sama berulang-ulang sampaikan satu masa dia kata pada kawan-kawan, kalau tak mahu temankan dia mandi, tak mengapa, dia boleh mandi bersama anaknya," katanya.
Dia akui, pemergian arwah dalam keadaan mengejutkan memberi tamparan dan kehilangan besar kepada rakan-rakan apatah lagi, Allahyarham dikenali sebagai individu yang ceria dan aktif bermain bola.
"Kali terakhir kami adakan reunion empat tahun lepas, tahun ini acara agak meriah kerana turut disertai batch (sesi) lain," katanya.
Mayat Koperal Muhammad Taufik ditemui pada jam 4.55 pagi pada Isnin dalam jarak tiga meter dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) selepas operasi mencari dan menyelamat digerakkan.
Jenazah mangsa yang bertugas di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Changkat Lada di sini sekitar jam 1.10 tengah hari pada Isnin.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri yang juga merupakan anggota polis, Koperal Azlane Mat, 42, serta tiga anak lelaki berusia 15, 13, dan lapan tahun.
Ibu dan bapa Allahyarham, Sayutin Dalimun, 75, dan Jamiah Mansor, 67, turut hadir mengiringi pengebumian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, hasil bedah siasat ke atas mangsa di Hospital Seri Iskandar mengesahkan punca kematian akibat lemas.
Katanya, polis menerima maklumat kejadian itu pada jam 3 petang daripada orang awam bahawa mangsa hilang setelah terjun di tali air tersebut.
"Operasi mencari dan menyelamat dilakukan bomba berjaya menjumpai mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian pada jam 4.55 pagi," katanya.