PENYERANG import berbisa Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva bersedia untuk menyarung jersi Harimau Malaya jika khidmatnya diperlukan pasukan kebangsaan.
Menurutnya, dia sudah merasakan Malaysia seperti rumahnya sendiri dan tiada masalah untuk dinaturalisasikan untuk membantu skuad Harimau Malaya.
"Anda menjumpai cara terbaik untuk saya, untuk negara dan Harimau Malaya. Saya sentiasa di sini dan saya rasa seperti berada di rumah (negara) sendiri.
"Namun, sudah tentu bos (Tunku Mahkota Ismail) akan membuat keputusan terbaik untuk kami dan saya sayangkan negara ini," katanya kepada Astro Arena.
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail memberikan bayangan skuad negara akan diperkuatkan dengan beberapa pemain naturalisasi termasuk Bergson.
Ia sebagai satu langkah dalam pelan penstrukturan pasukan kebangsaan atau lebih dikenali sebagai revolusi untuk memperkasakan skuad negara.
Pemain berusia 33 tahun dari Brazil itu sudah beraksi bersama JDT sejak 2021 dan boleh dinaturalisasikan apabila cukup tempoh beraksi di Malaysia.
Sejak bersama JDT, Bergson sememangnya dikenali dengan ketajamannya di depan pintu gol dan menjadi antara penyerang berbahaya pernah dimiliki skuad Harimau Selatan itu.
Kehadiran Bergson dalam skuad Harimau Malaya sekiranya menjadi kenyataan akan menambahkan bisa di jentera serangan skuad kebangsaan.