TPM ucap tahniah buat Thamaraj muncul juara dunia

Iklan
Thamaraj (duduk, kiri) bersama skuad silat negara di Abu Dhabi. Foto Facebook Zahid Hamidi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada pesilat negara, V Thamaraj yang menjuarai Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 kategori bebas putera di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad.

Beliau berkata, Thamaraj melakar sejarah tersendiri apabila menewaskan pesilat Uzbekistan, Khudoyberdiev Diyobek untuk meraih pingat emas, sekali gus muncul juara dunia.

Iklan
Iklan

"Saya amat teruja melihat kemenangan Thamaraj. Beliau mempersembahkan aksi hebat dengan menewaskan wakil Uzbekistan sekali gus membawa pulang pingat emas yang amat bermakna untuk negara,” catat beliau menerusi Facebook pada Isnin.

Ahmad Zahid turut berbangga dengan pencapaian skuad silat negara pada kejohanan dunia itu apabila pesilat senior membawa pulang enam emas, sembilan perak dan empat gangsa.

Iklan

"Pesilat remaja pula meraih lima emas dan masing-masing empat perak serta gangsa.

"Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh pasukan silat negara atas dedikasi dan pencapaian hebat ini,” katanya.

Iklan

Antara pesilat senior dan remaja yang menyumbang emas termasuk Farah Mazlan, Siti Shazwana, Abdul Latif, Tamarah, Ainatsya, Eafzayl Adriell, Raqib Darwisy, Muhammad Syaqil dan Ukail Darwis.

Menerusi hantaran sama, Ahmad Zahid juga merakamkan penghargaan kepada Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang turut bersama pesilat negara bagi memberi sokongan moral dan semangat kepada wakil negara.

"Semoga kejayaan ini menjadi permulaan kepada lebih banyak kemenangan yang mengharumkan nama Malaysia di masa akan datang. Insya-ALLAH,” katanya.

Megat Zulkarnain menerusi hantaran di Facebook turut memaklumkan Thamaraj telah mencipta sejarah sebagai pesilat pertama negara berbangsa India yang muncul seorang daripada juara dunia pada kejohanan tersebut.