Harga sayur di NS terkawal, tiada kenaikan ketara

Iklan
Veerapan melihat lada benggala yang dijual di sebuah pasar raya ketika melancarkan SHMMP.

SEREMBAN - Harga sayur di Negeri Sembilan masih terkawal dan tidak berlaku kenaikan yang ketara.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga memaklumkan tidak menerima sebarang aduan setakat ini berhubung kenaikan harga komoditi berkenaan.

Iklan
Iklan

"Di Negeri Sembilan kita dapati harga sayur masih pada paras munasabah dengan tiada peningkatan permintaan.

"Pihak KPDN juga memaklumkan yang mereka tidak menerima sebarang aduan setakat ini," katanya pada sidang media Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024, di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian menjawab soalan pemberita mengenai harga sayur di Negeri Sembilan.

Sebelum ini media melaporkan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengesahkan berlaku kenaikan empat kali ganda dan menjangkakan harga sayur kembali stabil menjelang Mac tahun depan selepas tamat Monsun Timur Laut.

Iklan

Sementara itu, Veerapan berkata, orang ramai diminta membuat aduan sekiranya berlaku kenaikan harga bagi barangan yang dikawal di bawah SHMMP.

"KPDN mengenal pasti sebanyak sembilan jenis barangan yang dikawal. Antaranya daging biri-biri bertulang import, ubi kentang import (China), lobak merah, tomato, lada benggala hijau dan cili merah.

"Pemantauan dan pemeriksaan harian oleh pegawai penguat kuasa akan dilaksanakan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli- belah.

"Orang ramai boleh membuat aduan sekiranya berlaku salah laku oleh peniaga berhubung ketidakpatuhan terhadap skim bersama butiran yang lengkap ke saluran yang disediakan," katanya.