PENYANYI dan komposer terkenal, Edry Abdul Halim berharap masyarakat lebih peka dan memahami situasi dilalui individu dalam kategori orang kelainan upaya (OKU) termasuk anak autistik.
Ujar adik kepada Datuk Norman dan Yusry itu, bukan mahu meminta simpati, sebaliknya beliau sudah penat untuk meminta maaf kerana memiliki seorang anak istimewa.
"Emery anak istimewa saya, dia autistik, tidak pandai bercakap dan tiada cara komunikasi seperti kita yang sempurna ini.
"Sekarang dia berada di Kuala Lumpur untuk bercuti dan dua malam kita pergi makan di pusat bandar. Ada berlaku situasi yang memberi trauma daripada layanan orang sekeliling. Sama ada daripada orang kedai atau pelanggan, kadang-kadang mereka tidak faham anak istimewa ini lain daripada lain.
"Apa yang saya ingin tekankan, kadang-kadang tindakan anak istimewa ini tidak boleh dijangka dan dia buat apa sahaja. Dia impulsif, kalau hendak minum dia ambil sahaja daripada rak dan tidak faham konsep perlu bayar dan buat pesanan.
Tambah lelaki berusia 48 tahun itu, masyarakat seharusnya perlu membantu golongan istimewa merasai kehidupan normal dengan memberikan layanan yang baik biarpun mereka mempunyai kekurangan dari segi keupayaan.
"Sepanjang hidup, mereka perlu lalui hidup yang sebegitu, tetapi mereka juga adalah manusia biasa yang mahu menjalani kehidupan normal.
"Anda hanya perlu hadap perangai mereka satu atau dua minit sahaja. Ibu bapa seperti kami perlu hadap mereka sepanjang hidup. Jika kalian fikir satu atau dua minit itu susah, boleh bayangkan bagaimana kami menghabiskan sepanjang hayat untuk menghadap mereka.
"Kami tidak mengeluh dan harap kalian juga sama. Jika ada antara kalian berjumpa dengan orang yang nampak lain dan ada penjaga atau ibu bapa bersamanya, kalian akan selamat.
"Bagi mereka ruang untuk 'menumpang lalu' kehidupan normal kalian untuk beberapa minit dan mereka akan pergi daripada kehidupan anda selamanya," ujarnya.
Kata Edry, melayan dengan kasar dan memaki hamun adalah perbuatan tidak wajar kerana anak-anak istimewa ini hanya menumpang seketika.
Mereka juga mempunyai penjaga dan ibu bapa yang dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku sebarang perkara daripada tindakan golongan istimewa itu.
"Tolonglah, peka dengan kekurangan dihadapi golongan istimewa ini kerana bukan semua kekurangan boleh dilihat. Saya tidak mampu mengubah dunia, tetapi kalau ada satu atau dua orang yang mengikuti saya dapat faham.
"Kalau ada berhadapan dengan seseorang berbeza, jangan layan mereka berbeza. Cuba sesuaikan diri dengan dunia mereka sekejap sahaja.
"Mereka hanya berada di dunia anda sekejap sahaja. Saya yakin dunia akan jadi tempat lebih baik kalau kita saling bertolak ansur," jelasnya yang kesal kerana perlu menjelaskan keadaan anaknya supaya orang sekeliling lebih faham.
Edry mendirikan rumah tangga bersama Milia pada November 1999 dan dikurniakan empat orang cahaya mata, Emil, 24, Edylia, 21; Emery, 17; dan Elya, 14.
Demi kebaikan Emry, Edry memilih berhijrah ke Manchester, United Kingdom sejak tahun 2018 bagi mendapatkan pembelajaran terbaik buat anak autisme.