KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia melaksanakan Op Lancar sempena perayaan Krismas dan sambutan tahun baharu bermula Isnin hingga 2 Januari.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ia bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan mengurangkan kesesakan dengan tindakan penyuraian di laluan-laluan utama seluruh negara.
"Kita mengambil maklum pertambahan aliran kenderaan dan kesesakan di lebuhraya utama (PLUS), lebuhraya Pantai Timur (LPT) termasuk lain-lain konsesi lebuh raya juga jalan-jalan persekutuan dan jalan negeri," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Yusri berkata, rujukan pihak Plus Malaysia Berhad (PLUS) pada Selasa lalu, menjangkakan sebanyak 2.12 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya.
"Ia juga tumpuan kepada pemberian tol percuma untuk semua kenderaan ringan bermula hari ini (Isnin) hingga esok (Selasa), selain kesempatan cuti persekolahan hingga penghujung tahun ini," katanya.
Menurutnya, orang ramai disarankan untuk memastikan keselamatan di jalan raya sepanjang tempoh cuti persekolahan dan perayaan Krismas.
"Semua pengguna jalan raya hendaklah mematuhi peraturan lalu lintas seperti memandu mengikut kelajuan yang ditetapkan.
"Selain itu, tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah serta mematuhi peraturan lampu isyarat merah," katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta semua pihak merancang perjalanan dan sentiasa peka dengan keadaan persekitaran termasuk cuaca serta maklumat aliran lalu lintas sebelum memulakan pergerakan bersama keluarga.
"Orang ramai juga perlu memastikan kenderaan dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, majikan dan pemandu kenderaan perdagangan digalakkan merancang pergerakan dengan keutamaan menggunakan jalan Persekutuan dan jalan negeri bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya utama di seluruh negara.
"Pengguna jalan raya hendaklah kekal berdisiplin dan sentiasa berhemah di jalan raya," katanya.
Mohd Yusri berkata, pihaknya amat menghargai dengan kerjasama yang diberikan untuk dijadikan teladan yang baik kepada pengguna jalan raya yang lain.
"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat maklumat berkaitan insiden atau kesesakan lalu lintas dengan menghubungi bilik gerakan di peringkat daerah dan kontinjen," ujarnya.