Dari taekwondo ke pencak silat, Thamaraj raih juara dunia di UAE

Iklan
Thamaraj melakar sejarah tersendiri bergelar juara dunia dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad.

KEPELBAGAIAN teknik seni persilatan Melayu ternyata menarik minat seorang anak kelahiran Kedah berbangsa India untuk menceburi sukan mempertahankan diri.

Bagi V Thamaraj, selain mahu mencipta kelainan dan meneroka sesuatu yang baharu, teknik seperti sapuan, guntingan mahupun tangkapan penuh bergaya menjadi pendorong pesilat negara ini untuk lebih mendalami sukan berkenaan.

Iklan
Iklan

Ternyata usaha beliau membuahkan hasil apabila melakar sejarah tersendiri bergelar juara dunia dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.

Pemilik susuk tubuh berusia 28 tahun dan berkhidmat sebagai tentera berpangkat Kpl di 9 Komp Kor Polis Tentera Diraja itu berkata, pada asalnya beliau merupakan atlet taekwondo sebelum berkecimpung dalam seni silat.

Iklan

"Saya sertai skuad negara selepas memenangi pingat emas di Kejuaraan Silat Kebangsaan ke-20 pada 2022 di Johor. Asalnya bermain sukan taekwondo pada 2016 dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Nak bertukar ke dunia silat agak susah juga ketika itu... sebab cara permainan dan peraturannya tak sama. Tapi saya berlatih dengan jurulatih yang mahir dan bekas juara dunia buat saya cepat belajar teknik dan peraturan silat," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Iklan

Berkongsi sejarah manis yang dilakarnya, Thamaraj mengakui seolah-olah berada di awang-awangan selepas berjaya menundukkan pesilat Uzbekistan, Khudoyberdiev Diyobek dalam Kelas Bebas Putera untuk merangkul pingat emas.

"Saya memang berhasrat untuk dapatkan pingat emas pada kejohanan dunia kali ini dengan bantuan dan semangat dari keluarga, kawan-kawan, jurulatih, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya.

Semalam, Thamaraj muncul antara pesilat senior yang menyumbang satu daripada enam pingat emas pada Kejohanan Pencak Silat Dunia itu yang turut menyaksikan Malaysia membawa pulang sembilan perak dan empat gangsa.

Selain itu, pesilat remaja negara juga tidak kurang hebat apabila meraih lima emas dan masing-masing empat perak dan gangsa dalam Kejohanan Silat Remaja Dunia yang berlangsung di venue sama.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada Thamaraj atas kejayaan membanggakan itu. - Bernama