SHMMP: 46 kes direkodkan di Johor dengan nilai kompaun RM5,100

Iklan
Ting Han (dua kiri) ketika pemeriksaan dan 'walkabout' SHMMP Krismas di sebuah pasar raya besar di Iskandar Puteri pada Isnin.

ISKANDAR PUTERI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor mengesan 46 kes di seluruh negeri ini melibatkan pelbagai kesalahan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi semua perayaan sepanjang tahun ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, semua kes tersebut hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas 1,708 premis di seluruh negeri sepanjang tempoh berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sebanyak RM5,100 kompaun turut dikeluarkan membabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

"Kesalahan dikesan sepanjang SHMMP melibatkan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Puasa dan Deepavali ialah tidak mempamerkan tanda harga, gagal meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan terkawal dan menjual melebihi harga kawalan.

Iklan

"Jumlah kes paling tinggi dicatatkan ketika SHMMP Deepavali iaitu sebanyak 27 kes diikuti SHMMP Tahun Baru Cina sebanyak 13 kes dan SHMMP Hari Raya Puasa sebanyak enam kes.

"Dalam tempoh pelaksanaan SHMMP kali ini, seramai 200 pegawai penguat kuasa KDPN Johor menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan bukan sahaja di pasar raya malah di premis kedai runcit juga," katanya.

Iklan

Ting Han (dua kanan) ketika pemeriksaan dan 'walkabout' SHMMP Krismas di sebuah pasar raya besar di Iskandar Puteri pada Isnin.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pemeriksaan dan 'walkabout' SHMMP Krismas di sebuah pasar raya besar di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo dan Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN negeri, Mohd Fuzi Hadi Abd Latif.

Dalam pada itu, Ting Han berkata, bekalan makanan di negeri ini mencukupi dan tiada sebarang aduan rasmi yang diterima mengenai kekurangan bekalan makanan terutama sayur, telur serta ayam ekoran banjir yang berlaku ketika Monsun Timur Laut.

"Situasi bekalan makanan di Johor memuaskan dan mencukupi. Bagaimanapun kerajaan negeri tetap memantau situasi bekalan di setiap daerah.

"Pengguna boleh membuat aduan jika berlaku kekurangan bekalan di daerah masing-masing sekali gus membolehkan tindakan segera diambil," katanya.