KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM310 juta pada 2025 berikutan peningkatan tahap kesedaran pembayar zakat di Terengganu.
Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, pihaknya menjangkakan terdapat peningkatan kutipan yang lebih tinggi berbanding sebanyak RM231.6 juta direkodkan tahun ini sehingga 22 Disember lalu.
Menurutnya, pada tahun ini pihaknya menyasarkan kutipan sehingga RM285 juta.
"Kita masih memerlukan kira-kira RM53 juta lagi dalam tempoh seminggu ini untuk mencapai sasaran kutipan zakat bagi tahun ini.
"Kita harap dapat mencapai sasaran itu sebelum tahun 2024 melabuhkan tirai kerana biasanya, banyak syarikat perniagaan dan individu yang tampil membayar zakat pada saat-saat akhir," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat sumbangan KPT Peladang Sdn Bhd di sini, pada Isnin.
Pada majlis tersebut, KPT Peladang Sdn Bhd menyerahkan zakat berjumlah RM60,965.
Dalam pada itu, Shaikh Harun berkata agihan oleh MAIDAM amat telus dan terperinci sekali gus menepis tanggapan negatif dilemparkan terhadap agensi kutipan zakat sebelum ini.
Katanya, 60 peratus daripada kutipan zakat di Terengganu daripada zakat pendapatan diikuti zakat perniagaan.
"Kita bersyukur kerana sejak 10 tahun kebelakangan ini, MAIDAM sentiasa mengagihkan bantuan zakat melebihi kutipan untuk manfaat lapan golongan asnaf yang layak terutama fakir miskin dan fisabilillah.
"Bagi tahun 2024, kita sudah agih RM299 juta dan maklumat berkaitan kutipan dan agihan zakat itu boleh diakses secara real-time (masa nyata) melalui aplikasi Sahabat MAIDAM," ujarnya.