KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan mengambil tindakan tegas terhadap penganjuran majlis makan malam sebuah syarikat perlombongan yang didakwa menyediakan persembahan tarian mencolok mata di Tanah Merah Sabtu lepas, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Beliau berkata, tindakan berkenaan dilakukan kerana aktiviti itu melanggar undang-undang yang telah ditetapkan di negeri ini kerana majlis yang dianjurkan tiada permit yang sah selain tidak sensitif dengan agama, budaya, undang-undang serta norma rakyat Kelantan.
"Kita kesal aktiviti seumpama ini masih berlaku di Kelantan walaupun kebanyakan rakyat sudah mengetahui undang-undang berkaitan hiburan yang ditetapkan di negeri ini.
"Malah ia perlu dijadikan pengajaran dan rakyat dinasihatkan supaya menghormati sensitiviti agama dan nilai budaya tempatan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.
Sebelum ini, tular video di media sosial seperti TikTok berdurasi 31 saat yang memaparkan seorang wanita sedang memperagakan tarian gelek serta berpakaian seksi di sebuah majlis makan malam di Tanah Merah pada Sabtu lepas.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati penganjur tidak pernah memohon untuk menganjurkan majlis itu dan pihak sekolah yang dijadikan sebagai lokasi penganjuran turut disiasat.
"Buat masa ini kerajaan negeri masih menunggu laporan penuh daripada Majlis Daerah Tanah Merah mengenai penganjuran majlis berkenaan.
"Penganjur boleh dikompaun kerana tidak pernah membuat permohonan bagi menganjurkan sebarang majlis hiburan, sama ada di kawasan terbuka atau tertutup," katanya. - Bernama