SHAH ALAM - Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan peruntukan sebanyak RM130,000 bagi ‘Jelajah Sinar Harian Untuk Rakyat’ di Perlis bagi meraikan program yang selari dengan objektif penubuhan yayasan dalam memperkasakan komuniti dari pelbagai aspek.
Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, sebanyak RM100,000 digunakan bagi program rewang masyarakat, motivasi kepada anak yatim serta pemerkasaan komuniti yang melibatkan 1,000 hingga 1,500 orang.
"Sebanyak RM30,000 bagi bantuan bakul makanan kepada 200 keluarga miskin, ibu tunggal, anak yatim dan mualaf yang layak.
"YBR percaya melalui program-program kemasyarakatan ini, ia mampu meningkatkan sosioekonomi mereka ke peringkat seterusnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sinar Harian bakal membuka tirai tahun 2025 dengan program jelajah berkonsepkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu dan memperkasakan kelompok masyarakat di seluruh negara iaitu Jelajah Sinar Untuk Rakyat.
Lokasi pertama jelajah berkenaan akan diadakan di Masjid Jamek Beseri dan Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri, Perlis pada 4 dan 5 Januari depan.
Mengulas lanjut, Syaiful Rizal memberitahu program tersebut bukan sahaja menyediakan bantuan secara langsung kepada golongan memerlukan malah turut membuka ruang untuk pendidikan dan motivasi seperti meningkatkan kemahiran dan semangat komuniti.
"Sebagai contoh melalui perlaksanaan program motivasi ini, ia dapat membantu membentuk minda positif dan memberi dorongan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan seharian.
"Iaitu dengan kekal bersemangat dan positif untuk menaikkan mutu hidup ke peringkat seterusnya walaupun dalam keadaan diuji,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar program sedemikian dapat memberi impak positif kepada masyarakat khususnya golongan yang memerlukan.
Jelas Syaiful Rizal, pihaknya ingin melihat hasil dalam bentuk masyarakat lebih prihatin dan berganding bahu dalam menyahut misi Malaysia Madani mengubah negara agar menjadi lebih makmur dan maju melalui dasar ketelusan serta kerjasama.
"Kami juga akan kekal komited untuk terus menyokong inisiatif seperti ini di masa akan datang, kerana ia selaras dengan misi penubuhan YBR untuk menjadi pemangkin bagi peningkatan ekonomi dan taraf hidup.
"Sehubungan itu, orang ramai di sekitar Perlis, ayuh bersama-sama hadir bagi memeriahkan acara dan membantu komuniti yang kurang bernasib baik.
"Sesungguhnya bantuan dianggap kecil oleh kita, namun nilainya mungkin besar bagi mereka yang memerlukan,” katanya.