SHAH ALAM - Satu spesies semut baharu dari genus Syscia yang ditemui ketika kerja lapangan di Hutan Simpan Kawang Papar, Sabah pada 2023 telah dinamakan sebagai Syscia yekzoeae.
Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam satu kenyataan berkata, nama tersebut sempena penghormatan kepada pensyarah kanan dari Institut Biologi dan Pemuliharaan Tropika (ITBC) UMS, Dr Yek Sze Huei (Zoe).
"Koloni semut ini mendiami kayu dan tanah yang reput. Menariknya, spesies baru ini adalah pemangsa wajib kepada spesies semut lain.
"Malah ratu semutnya tidak dapat terbang dan mempunyai sayap kecil serta tidak berfungsi. Fungsi tunas sayap ini masih belum diketahui,” katanya pada Isnin.
Tambah UMS, penemuan itu baharu diterbitkan dalam jurnal Asian Myrmecology Disember tahun ini.
Menurutnya, dalam penerbitan sama juga, dua spesies semut lain turut diterangkan iaitu Syscia sabahna dan Ooceraea magna yang kedua-duanya ditemui di Banjaran Crocker.
"Syscia sabahna lebih meluas dan telah ditemui di Poring dan Tambuyukon di Taman Negara Kinabalu serta Taman Bukit Tawau. Semut-semut ini juga mendiami kayu yang mereput dan tanah, sama seperti spesies sebelumnya.
"ITBC mempunyai sejarah panjang dalam penyelidikan semut sejak penubuhannya pada tahun 1996 dan penemuan baharu ini menunjukkan bahawa pengetahuan kita tentang kepelbagaian semut di Borneo masih perlu difahami sepenuhnya.
"Dr Yek dan pasukannya yakin bahawa dengan lebih banyak kerja lapangan dan penyelidikan, banyak lagi spesies semut baharu yang belum dikenal pasti akan ditemui di Sabah,” ujarnya.
Dalam pada itu, UMS berkata, dua pengarang bekerjasama dalam kerja lapangan dan penyediaan laporan jurnal berkenaan iaitu Profesor Emeritus Seiki Yamane dari Universiti Kagoshima, Jepun yang memainkan peranan dalam analisis dan penerangan taksonomi.
"Seorang lagi pengarang bersama, iaitu penyelidik di Institut Sains dan Teknologi Okinawa, Jepun, Riou Mizuno melakukan pemerhatian pembiakan di makmal dan fotografi spesimen,” katanya lagi.