Seorang maut, empat parah lima motosikal bergesel

Iklan
Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai bergesel dengan motosikal lain dalam kejadian di kilometer 12.4 Lebuh raya Rakyat Ketereh-Kota Bharu di Kota Bharu pada Ahad.

KOTA BHARU - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai bergesel dengan motosikal lain dalam kejadian di kilometer 12.4 Lebuhraya Rakyat Ketereh-Kota Bharu di sini pada Ahad.

Kemalangan yang melibatkan lima buah motosikal itu berlaku pada jam 11.55 malam di mana empat penunggangnya mengalami kecederaan parah.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu telah menerima satu laporan berkaitan kemalangan maut melibatkan lima buah motosikal pada jam 12.50 pagi Isnin.

"Siasatan awal yang dijalankan mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia awal 20-an menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dari arah Ketereh menghala ke Kota Bharu melalui Lebuhraya Rakyat secara berkumpulan.

Iklan

"Setiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai telah hilang kawalan dan bergesel dengan motosikal yang lain," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Menurutnya, pergeseran itu menyebabkan kedua-dua penunggang terjatuh di atas jalan raya sebelum tiga lagi penunggang motosikal juga dari arah yang sama tidak sempat mengelak dan telah terlanggar motosikal terbabit.

Iklan

Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC terbabit telah meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Pakar USM Kubang Kerian untuk bedah siasat.

Tambahnya, empat lagi penunggang motosikal yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, badan dan kaki di bawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

"Kes ini disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat kejadian kemalangan ini diminta tampil hadir untuk membantu siasatan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau hubung talian 09-7752315," katanya.