PEMAIN golf muda negara dari Gua Musang, Muhammad Afham Othman meletakkan sasaran untuk berada dalam kedudukan lima terbaik di kejohanan Piala Dunia Remaja 2025 di Florida, Amerika Syarikat (AS), pada Januari ini.
Remaja berusia 13 tahun itu berkata, dia bersama bapanya, Othman Ismail, 64, dan jurulatih, Dinie Zakie bakal berlepas ke negara itu pada Rabu ini selepas berjaya mengumpul dana RM50,000 serta akan berada di sana selama 13 hari.
Katanya, dia sebelum ini tidak membuat keputusan untuk menyertai kejohanan terbabit, tetapi akhirnya impian itu terlaksana apabila mendapat sokongan dan sumbangan kewangan daripada badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Golf Doremi selain RM15,000 daripada kerajaan Kelantan.
"Saya akan bertolak dari Lapangan Terbang Antabangsa Kuala Lumpur ke AS bagi persediaan menyertai kejohanan yang akan berlangsung pada 3 hingga 5 Januari tahun depan.
"Perasaan ini bercampur baur sebagai peserta termuda bagi kategori bawah 14 tahun, tetapi saya berkeyakinan untuk menempatkan diri sekurang-kurangnya pada kedudukan ‘top 5’ dunia,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Keraian Afham mewakili Malaysia ke AS di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Sebelum ini, Muhammad Afham membuat kejutan dengan menamatkan saingan di tempat kedua Kejohanan Golf Remaja Mazda AS 2024 di Thailand bulan lalu sekali gus melayakkan diri ke kejohanan dunia tersebut.
Anak ke tujuh daripada sembilan beradik itu mencatat keseluruhan enam atas par 114 pukulan di bawah pemain Korea Selatan Taeoh Ryu yang mengungguli saingan dengan catatan keseluruhan lima atas par 112 pukulan, manakala tempat ketiga menjadi milik atlet Filipina, Ralph Rian Woo Batican.
Muhammad Afham juga hafiz Quran yang setakat ini menghafal lima juzuk itu berkata, sebagai persediaan ke AS, latihan dilakukan secara kerap dengan bantuan Dinie dan dua lagi jurulatihnya, Yusuf Raidhan dari Afrika Selatan dan Travis Vin Dijk (United Kingdom) di tempat dia belajar di Kolej Epsom di Bandar Enstek Nilai, Negeri Sembilan.
"Saya dapat tawaran kolej berkenaan bersama tajaan biasiswa penuh lebih RM200,000 setahun selama dua tahun dan baru dua bulan belajar di kolej itu.
"Saya mendapat sokongan padu dari bapa yang turut sama berpindah dari Gua Musang ke Negeri Sembilan untuk menemani saya sepanjang pengajian di kolej berkenaan,” katanya yang turut mengamalkan zikir untuk mendapatkan fokus semasa kejohanan golf berlangsung.
Sementara itu, Exco Jawatankuasa Belia, Sukan NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad, berkata, pihaknya melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menyalurkan sumbangan RM15,000 untuk membantu remaja berkenaan meraih kejayaan di peringkat antarabangsa.
"Kami sentiasa memberikan dorongan untuk para atlet di Kelantan termasuk untuk sukan golf.
"Muhammad Afham ialah model anak Kelantan yang berjaya walaupun berasal dari Gua Musang dan akan membawa nama baik Kelantan ke persada dunia,” katanya.