SHAH ALAM - Petrosains 'The Discovery Centre' mulakan cuti persekolahan akhir tahun dengan menganjurkan pelbagai aktiviti menarik termasuk bengkel dan pertunjukan bagi mempromosikan kelestarian serta pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pengunjung.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ezarisma Azni Mohamad berkata, program tersebut dibuat bagi memberikan pengalaman bermakna dan inspirasi untuk masyarakat tentang literasi STEM.
Menurutnya, penganjuran sempena 25 tahun meraikan sains, teknologi dan inovasi itu diharap dapat menonjolkan minat anak muda terhadap kreativiti selari dengan usaha menyokong pembangunan bakat.
"Kami percaya pembelajaran STEM perlu mendapat akses masyarakat yang hadir daripada pelbagai latar belakang kerana ia penting untuk membantu generasi muda menemui potensi diri.
"Ia membolehkan mereka bersedia untuk masa depan, merebut peluang baharu dan mencipta jalan penyelesaian lebih awal," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Antara aktiviti menarik disediakan bagi membantu membangunkan kemahiran berfikir secara kritis adalah mempelajari kepentingan pemuliharaan dan pengurusan air menerusi 'Water-Water Everywhere' serta meneroka prinsip tekanan melalui 'Pressure Show'.
Dengan menyediakan kira-kira 300 pameran, ruang galeri Petrosains penuh dengan ilmu mengenai keajaiban astronomi, 'Geotime Diorama', kehidupan semasa zaman prasejarah dan banyak lagi.
Kawasan pameran lain menawarkan pengalaman realistik berada di pelantar minyak dan pengunjung juga boleh memandu dalam simulator kereta Formula 1.
Ezarisma Azni memaklumkan, Petrosains turut menekankan elemen kelestarian menerusi pendidikan STEM contohnya 'Energy Capsule' yang menceritakan tentang revolusi teknologi dalam mendepani isu dan cabaran masa depan.
Sementara itu, katanya, salah satu perkara penting ketika penganjuran berkenaan adalah pra peluncuran projek 'Sustainability Fun Box' iaitu kerjasama antara Petrosains dengan syarikat tempatan, Ekha.
Tambahnya, 'Sustainability Fun Box' membolehkan pengguna menukar sampah harian daripada rumah kepada produk baharu bagi menggalakkan ekonomi kitaran.
"Projek inovatif ini juga menyokong usaha Petrosains dalam menggalakkan orang ramai amal kaedah mesra alam dan membuat pilihan terbaik demi menjaga kelestarian alam sekitar," ujarnya.