Ikrar pemimpin baharu Syria, enggan campur tangan hal Lubnan

Iklan
Al-Sharaa bertemu Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan di Damsyik pada Ahad. Foto Agensi

DAMSYIK - Pemimpin baharu Syria, Ahmed al-Sharaa berikrar tidak akan campur tangan dalam hal ehwal negara jirannya, Lubnan.

Jaminan itu dibuat ketika pertemuan dengan tokoh dari Beirut yang memimpin puak minoriti Druze pada Ahad, kira-kira dua minggu selepas penggulingan rejim Presiden Bashar al-Assad.

Iklan
Iklan

"Tidak akan ada intervensi negatif di Lubnan sama sekali. Damsyik akan menghormati kedaulatan, perpaduan wilayah, kebebasan untuk membuat keputusan dan kestabilan keselamatan negara itu.

"Syria telah menjadi punca kebimbangan utama kepada negara tersebut sepanjang tempoh legasi Assad memegang kuasa,” ujar pemimpin puak pembebas, Hayat Tahrir al-Sham (HTS) tersebut.

Iklan

Al-Sharaa yang sedang berusaha memulihkan hubungan dengan negara serantau turut bertemu Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan setelah Ankara antara yang menyokong penuh kerajaan baharu Syria.

Bagi meredakan rasa khuatir banyak pihak, al-Sharaa turut mengesahkan kesemua bekalan senjata termasuk milik Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang didominasi puak Kurdish dan disokong Amerika Syarikat (AS) akan berada di bawah kawalan kerajaan sementara.

Iklan

"Puak bersenjata yang selama ini menentang rejim Assad akan membubarkan kumpulan masing-masing dan menyertai pasukan tentera,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan pimpinannya juga sedang berusaha untuk melindungi puak minoriti daripada sebarang serangan pihak yang cuba mengeksploitasi situasi yang masih belum stabil untuk mencetuskan sengketa antara sekta.

"Syria adalah negara untuk kita hidup bersama,” katanya.

Perang saudara yang berlarutan selama 14 tahun telah meragut nyawa lebih 500,000 orang dan menyebabkan lebih separuh daripada populasi hilang tempat tinggal serta sebahagian besar melarikan diri ke negara jiran. - Agensi