JAKARTA - Kisah Sunhaji terus mendapat perhatian ramai setelah insiden dia dihina pendakwah kontroversi Indonesia, Gus Miftah pada awal bulan lalu.
Selepas kembali mengerjakan ibadah umrah, penjual teh ais itu dikhabarkan menerima durian runtuh lagi.
Sunhaji menerima sumbangan wang tunai berjumlah kira-kira 112 juta rupiah (RM31,506) dikumpulkan pempengaruh media sosial, Zulfikar Akbar dan Kokok Dirgantoro yang diserahkan di kediamannya di Magelang, Jawa Tengah.
Sejak kejadian yang menyebabkan namanya menjadi tular, banyak pihak termasuk tokoh awam simpati dengan keadaan bapa kepada dua anak tersebut dan mula memberikan pelbagai bentuk sumbangan termasuk modal usaha, tajaan umrah dan sebuah kereta.
Namun, Sunhaji tetap meneruskan kehidupan secara sederhana dan bersyukur dengan hasil jualan sebagai penjual teh ais sebelum ini.
Sehingga kini dia tidak menyangka hinaan Gus Miftah telah membawa rezeki yang mencurah-curah kepadanya.
Meskipun hidupnya sudah berubah 360 darjah, Sunhaji tetap mahu terus bergelar penjual teh ais yang menjadi punca mata pencarian buat keluarganya.
"Kerana saya dapat rezeki banyak hasil daripada jualan teh ais,” ujarnya menerusi wawancara bersama Kang Dedi Mulyadi yang dimuat naik di YouTube.
Dia turut berseloroh akan menghantar teh ais dengan menggunakan kereta yang dihadiahkan kepadanya.
Sebelum menjadi penjual teh ais, Sunhaji pernah menjadi buruh penebang kayu. - Agensi