BERUAS - Beberapa ahli Bersatu Bahagian Beruas meminta Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu Perak supaya menangguhkan pemilihan parti bahagian tersebut yang dijadual berlangsung esok.
Wakilnya, Mazlan Abdul Ghani berkata, majoriti ahli mahu perkara itu dibuat kerana melihat terdapat beberapa kepincangan dan manipulasi dibuat pihak tertentu pada pemilihan kali ini.
Menurutnya, antara perkara yang paling ketara, lebih 200 ahli masih tidak menerima dan lambat menerima notis mesyuarat agung tersebut iaitu hanya tiga hari sebelum mesyuarat diadakan.
"Kita merasakan ada pihak tertentu cuba memanipulasi keahlian dengan meletakkan nama ahli di cawangan-cawangan yang jauh dari tempat tinggal mereka. Malah lebih menghairankan bagaimana mesyuarat boleh diadakan pada hari bekerja.
"Jika mesyuarat dan pemilihan diadakan pada hari Isnin, sudah tentu ramai yang tak dapat hadir kerana bekerja. Kita melihat ada cubaan pihak tertentu yang mahu menafikan hak ahli untuk mengundi dan cuba memenangi pemilihan secara tidak adil," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Dewan Orang Ramai Kampung Dendang di sini hari ini.
Menurutnya, semua ahli berhak menerima notis mengikut ketetapan yang dibuat oleh JPP dan mengetahui tempat untuk mereka bermesyuarat untuk membolehkan mereka memilih ketua mereka.
Mazlan berkata, sebagai langkah terbaik, pihak JPP mahupun Badan Pimpinan Bersatu Perak perlu menangguhkan mesyuarat cawangan dan pemilihan Bersatu Bahagian Beruas ke satu tarikh yang lebih sesuai supaya sistem Satu Ahli Satu Undi (SASU) ini dapat laksanakan dengan baik.
Beliau berkata, mana-mana calon perlu tampil secara budiman dengan bertanding secara sihat mengikut undang-undang ditetapkan parti dan bukan dengan cara memanipulasi ahli.
"Saya mewakili ahli Bersatu Bahagian Beruas menuntut satu pertandingan yang sihat dan adil. Kami mahu ahli-ahli Bersatu ditempatkan di cawangan asal mereka atau sekiranya mereka tidak ada cawangan, mereka perlu ditempatkan di cawangan yang paling hampir dengan alamat kediaman.
"Kita juga minta supaya pimpinan tertinggi parti meneliti latar belakang calon sama ada mereka ada rekod jenayah seperti penyalahgunaan dadah atau sebaliknya kerana kita tidak mahu nama baik parti tercemar dan menjadi bahan jenaka pihak lawan," katanya.
Katanya, tindakan drastik perlu diambil oleh pimpinan tertinggi Bersatu dan JPP terhadap perkara ini kerana apa yang disuarakan sesuatu yang boleh menjejaskan nama baik parti.