Tahun kedua pentadbiran: Rating kelulusan Anwar meningkat kepada 54 peratus

Iklan
Anwar

KUALA LUMPUR - Rating kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meningkat kepada 54 peratus dalam kalangan pengundi Malaysia pada tahun kedua pentadbiran Kerajaan Madani, berbanding 50 peratus tahun lepas, menurut kaji selidik Merdeka Center.

Kaji selidik yang dilaksanakan awal Disember tahun ini mendapati, pengundi secara umumnya berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri merentasi beberapa bidang termasuk dalam menarik pelaburan meningkatkan imej negara dan meningkatkan perkhidmatan awam, tetapi memberikan penilaian bercampur terhadap usaha memperkukuh ekonomi.

Iklan
Iklan

Organisasi bebas yang memberi tumpuan kepada penyelidikan pendapat awam dan analisis sosioekonomi dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan pada masa ini, 51 peratus daripada responden memberikan rating kelulusan kepada Kerajaan Persekutuan (Kerajaan Perpaduan) berbanding 46 peratus pada November 2023.

"Ketidakpuasan hati terhadap Kerajaan Persekutuan pada masa ini berada pada 47 peratus. Perbezaan yang kecil antara positif dan negatif sebahagian besarnya disebabkan kebimbangan berterusan mengenai tekanan kos sara hidup dan kebimbangan mengenai pemotongan subsidi yang dijangka akan berlaku pada masa akan datang.

Iklan

"Seperti sebelum ini, sentimen pengundi kekal tertumpu kepada ekonomi, yang sebahagian besarnya didorong oleh kebimbangan mereka terhadap ekonomi, dengan 65 peratus menyatakan sebagai ‘masalah nombor satu dihadapi rakyat di negara ini hari ini’, walaupun tinggi, ia menurun berbanding 74 peratus setahun yang lepas,” menurut kenyataan itu.

Merdeka Center juga memaklumkan bahawa terdapat penurunan dalam jumlah pengundi yang menganggap negara sedang menuju ke arah yang salah, iaitu daripada 54 peratus pada 2023 kepada 53 peratus tahun ini, dengan sebab utama seperti isu ekonomi (47 peratus), ketidakstabilan politik (tujuh peratus) dan pentadbiran yang lemah (lapan peratus).

Iklan

Laporan itu juga menyatakan pengundi berusia 18 hingga 30 tahun mempunyai pandangan positif terhadap hala tuju negara dengan memberikan penarafan 49 peratus.

Manakala pengundi majoriti berusia 31 hingga 60 tahun ke atas berpendapat, negara sedang menuju ke arah yang salah dengan kebimbangan mengenai keadaan ekonomi negara seperti kos sara hidup yang tinggi, pendapatan minimum dan penurunan nilai ringgit.

Kaji selidik itu melibatkan 1,207 pengundi berdaftar terdiri daripada 52 peratus Melayu, 29 peratus Cina, tujuh peratus India, enam peratus Bumiputera Islam, enam peratus bumiputera bukan Islam. - Bernama