KUALA LUMPUR - Polis mengesan kewujudan akaun TikTok 'Malaysia Shopping Mall' yang menggunakan suara dan video pakar perubatan terkenal, Prof Datuk Dr Noordin Darus bagi mempromosi produk ubat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, video dan suara itu bagaimanapun dilakukan tanpa kebenaran pakar perubatan tersebut.
Katanya, dipercayai dilakukan dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
"JSJK mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah mempercayai iklan di media sosial.
"Kecanggihan teknologi AI dilihat telah menjadi pencetus kepada kewujudan iklan-iklan yang memaparkan suara, wajah serta video individu ternama tanpa kebenaran mereka dengan tujuan untuk mengelirukan pembeli," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dengan promosi produk kesihatan yang mencurigakan serta tidak jelas.
Katanya, ini dikhuatiri produk yang dijual itu adalah palsu dan boleh mendatangkan mudarat kepada penggunanya.