Kesesakan trafik turut jejas mental pemandu

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Dr Fauziah

SHAH ALAM - Terperangkap dalam kesesakan trafik setiap hari boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental seseorang termasuk pemandu lori.

Pakar Psikologi dan Kaunseling di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Madya Dr Fauziah Mohd berkata, antara kesannya adalah boleh menyebabkan individu terbabit mengalami tekanan dan kebimbangan.

Iklan
Iklan

Katanya, apabila terperangkap dalam trafik yang panjang individu berkenaan akan berasa tertekan, terutamanya jika mereka mengejar masa atau menghadapi cabaran lain seperti cuaca buruk atau keletihan.

"Selain itu, pemandu juga akan berdepan dengan kemarahan dan frustasi, pengalaman ini boleh mencetuskan perasaan marah dan tidak sabar, yang sering dirujuk sebagai road rage,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Fauziah berkata, bagi kesan jangka panjang, pendedahan kepada tekanan trafik yang berulang mampu menyumbang kepada masalah seperti insomnia, kemurungan dan gangguan kebimbangan umum.

"Ia juga akan beri kesan kepada produktiviti harian apabila mereka sering terlewat sampai ke tempat kerja,” katanya.

Iklan

Jelasnya, kesesakan trafik ini juga akan menyebabkan keletihan kepada individu kerana terpaksa menempuh waktu perjalanan yang panjang.

"Dari sudut psikologi pula, ketegangan akibat perjalanan boleh terbawa-bawa ke tempat kerja sehingga boleh mencetuskan konflik antara individu dan menurunkan moral pasukan,” katanya.

Fauziah berkata, antara inisiatif yang boleh disarankan untuk mengelakkan tekanan ketika kesesakan trafik adalah menggalakkan penggunaan teknologi untuk bekerja dari rumah (BDR).

"Dengan itu, pekerja tidak perlu menghadapi kesesakan trafik setiap hari, lalu dapat mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesejahteraan mental.

"Malah kajian turut menunjukkan bahawa pekerja yang bekerja dari rumah sering lebih produktif kerana mereka dapat bekerja dalam persekitaran yang lebih selesa dan tanpa gangguan perjalanan,” jelasnya.