Perjalanan inspirasi Veveonah, dari sains marin ke bidang perubatan

Iklan
Veveonah yang pernah tular kerana menjawab peperiksaan di atas pokok kerana masalah liputan jalur lebar yang terhad kini bergelar pelajar perubatan di MSU.

SHAH ALAM - Veveonah Mosibin, 23, yang sebelum ini mendapat perhatian kerana menjawab peperiksaan secara dalam talian di atas pokok bagi mendapatkan capaian internet sekali mencuri tumpuan orang ramai.

Ini kerana beliau tidak dapat menghadiri Istiadat Konvokesyennya di Universiti Malaysia Sabah (UMS) kerana sedang menjalani pengajian perubatan di Management and Science University (MSU), Shah Alam.

Iklan
Iklan

"Saya ditaja untuk balik ke Sabah sempena Krismas, tetapi nak beli tiket tambahan untuk konvokesyen memang sangat mahal,” katanya menerusi laporan media.

Menerusi beberapa keping gambar yang tular, Veveonah dilihat memakai baju seragam pegawai perubatan tertera logo MSU.

Iklan

Ujarnya, minat dalam bidang perubatan telah lama diimpikannya sejak tahun 2021.

Beliau memulakan kursus perubatan selama lima tahun di MSU pada 1 Oktober lalu dan sedang memohon biasiswa untuk pengajian tersebut.

Iklan

Veveonah, yang berasal dari Kampung Sapatalang, Pitas telah menamatkan pengajian dalam bidang sains marin dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.46.

"Masa pandemik Covid-19, kami kena belajar secara dalam talian sedangkan sains marin memerlukan banyak pembelajaran secara praktikal. Saya mula hilang minat dan sedar pilihan awal saya tidak sejajar dengan kebolehan serta keinginan sebenar saya,” ujarnya.

Meskipun berminat dalam bidang perubatan, Veveonah tetap menamatkan ijazah sains marin atas dasar menghormati kontrak biasiswa yang diterima.

"Di sini, saya bertemu ramai kawan daripada pelbagai latar belakang. Mereka sangat baik dan banyak membantu saya menyesuaikan diri. Keadaan ini memberi motivasi kepada saya untuk lebih berusaha,” ujarnya.

Veveonah dijangka menerima skrol ijazahnya menjelang hujung bulan ini.