KETEGASAN kerajaan mengetatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand khususnya di pangkalan haram sepanjang Sungai Golok di Kelantan adalah langkah tepat demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
Pada 1 Disember lalu, bermulalah langkah penguatkuasaan larangan merentasi sempadan menggunakan pangkalan haram di sungai yang memisahkan dua negara itu.
Bagi komuniti dan penduduk yang mempunyai pertalian saudara tetapi dipisahkan oleh sungai tersebut, keputusan kerajaan itu mungkin dilihat menyusahkan.
Ini lebih-lebih lagi apabila terdapat kira-kira 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.
Kebanyakan mereka dari Thailand bersekolah di sembilan sekolah di sekitar Rantau Panjang termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, SMK Rantau Panjang, SK Tok Deh, SK Gual Tinggi dan Sekolah Ugama Arab Lubok Gong.
Namun, perkara tersebut ditangani dengan baik oleh Kementerian Pendidikan apabila Menterinya, Fadhlina Sidek melakukan usaha perbincangan bersama waris untuk menempatkan pelajar di asrama bersesuaian sebagai langkah menjamin keselamatan dan memastikan pendidikan berterusan kepada mereka.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, pintu masuk rasmi di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan hanya ada tiga iaitu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubor.
Saifuddin berkata, selain tiga ICQS tersebut, pintu masuk lain dianggap sebagai ‘laluan tikus’ dan perbuatan menggunakan laluan haram berkenaan untuk keluar atau masuk ke negara ini menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan.
Di sebalik tindakan tegas kawalan ketat itu, polis Kelantan mula menerima ancaman pihak tertentu yang tidak berpuas hati terhadap keputusan menguatkuasakan larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram tersebut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat bagaimanapun tidak gentar terhadap ancaman itu. Beliau berkata, polis tetap akan meneruskan penguatkuasaan dan menahan individu yang menyeberang Sungai Golok.
Penulis yakin tindakan tegas pihak berkuasa itu menyebabkan penyeludup tidak dapat menjalankan rutin aktiviti haram mereka menyeludup masuk beras dan haiwan ternakan seperti sebelum ini.
Paling tidak dapat diterima apabila barangan keperluan kita yang disubsidi oleh kerajaan seperti tepung gandum, minyak masak peket dan gas petroleum cecair dijual kembali tanpa rasa bersalah.
Malah tidak dinafikan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok turut digunakan untuk menyeludup barangan terlarang seperti pil kuda, ganja, ketum malah berkemungkinan turut menjadi laluan aktiviti pemerdagangan manusia, senjata api dan sebagainya.
Pada November lalu, seorang penyanyi tersohor Kelantan adalah antara enam rakyat Malaysia yang ditahan selepas dipercayai memiliki dadah jenis pil kuda di sebuah hotel di Pekan Golok, Thailand.
Kesemua mereka yang berusia 25 hingga 32 tahun ditahan di sebuah bilik selepas selesai berhibur. Menerusi tangkapan itu, polis Thailand merampas 6,000 biji pil kuda.
Larangan rentas sempadan secara haram itu turut termaktub kepada tindakan terhadap anggota penguat kuasa yang melanggar arahan tersebut.
Terbaharu, tiga anggota polis yang dikesan berhibur di pusat hiburan di Pekan Golok bakal dikenakan tindakan tatatertib.
Mereka disyaki mengunjungi pusat hiburan itu sejak awal tahun ini lagi menggunakan laluan haram di Pengkalan Che Husin, Rantau Panjang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, anggota polis berusia antara 26 hingga 32 tahun itu dikesan berhibur di pusat hiburan di Golok, Thailand sejak awal tahun ini.
Ini berikutan tular laporan salah laku pegawai dan anggota polis terbabit selepas pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard IPK Kelantan menerima beberapa gambar dan video berhubung aktiviti salah laku anggota polis yang disyaki mengunjungi dan berhibur di pusat hiburan Pekan Golok.
Tidak kira siapa pun yang menyeberang, tindakan tegas mesti diambil tanpa memilih bulu demi keselamatan dan kedaulatan negara.
* Izwan Rozlin adalah wartawan Sinar Harian