Isu kenderaan berat tonjol kelemahan penguatkuasaan

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa. (Gambar kecil: Hezeri, Lam Thye)

SHAH ALAM - Pelbagai insiden melibatkan kenderaan berat yang berlaku di negara ini menonjolkan kelemahan serius dalam penguatkuasaan dan peraturan keselamatan jalan raya.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, situasi itu bukan sahaja mengancam nyawa pengguna tetapi turut mendedahkan isu sistemik dalam sektor pengangkutan dan logistik di Malaysia.

Iklan
Iklan

Justeru, beliau mencadangkan enam langkah yang perlu diberi perhatian kerajaan iaitu latihan dan persijilan pemandu yang lebih ketat, protokol pemeriksaan kenderaan yang lebih teliti serta mewajibkan pemasangan teknologi keselamatan.

Selain itu, penguatkuasaan undang-undang lalu lintas yang lebih tegas, hukuman lebih berat untuk pemandu cuai dan tanggungjawab majikan.

Iklan

"Dalam hal ini, saya melihat kepada pentingnya semua pemandu kenderaan berat menjalani program latihan yang ketat dan piawai. Persijilan semula secara berkala juga mesti diwajibkan untuk memastikan pematuhan berterusan terhadap protokol keselamatan.

"Selain itu, kenderaan berat perlu menjalani pemeriksaan berkala yang menyeluruh untuk memastikan kelayakan berada di jalan raya. Fokus khusus harus diberikan kepada sistem brek, tayar dan mekanisme keselamatan muatan.

Iklan

"Kenderaan berat juga kena dilengkapi dengan ciri keselamatan moden seperti had laju automatik, penjejakan GPS dan kamera papan pemuka untuk memantau kelakuan pemandu dan pergerakan kenderaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, penganalisis industri automotif, Hezeri Samsuri pula berpandangan, lebuh raya dan jalan persekutuan semakin sibuk ditambah pula dengan peningkatan kenderaan logistik termasuk bas ekpres adalah satu situasi yang boleh membunuh jika tiada kawalan.

"Paling bagus adalah mewujudkan kembali Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mempunyai pasukan penguat kuasa sendiri dan tidak duduk di bawah telunjuk pihak kementerian dan terbukti tidak ada pertindihan kuasa seperti yang didakwa.

"Malangnya, SPAD akan ‘menyusahkan’ pemilik dan syarikat operator kenderaan tersebut. Buat masa sekarang, majoriti kes membabitkan pemandu sahaja, bukan pemilik kenderaan dan penyelenggaraan kenderaan terletak di bawah kuasa syarikat.

"Kewujudan tonto juga membuktikan kegagalan kementerian sekarang,” katanya.Hezeri berkata, lebih memburukkan keadaan apabila sebilangan pemandu kenderaan berat yang tidak berdisiplin, sehingga boleh mengakibatkan kemalangan yang lebih teruk.

"Operasi yang dilakukan pihak berkuasa pula kebiasaannya bermusim dan ditambah dengan tawaran diskaun untuk saman, ia membuktikan Malaysia sebenarnya tiada usaha, peruntukan dan kesungguhan dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” ujarnya.