SHAH ALAM – Waris mangsa kemalangan maut membabitkan lori kuari di Kampung Kubang Telaga, Bachok pada Jun lalu terkilan kerana tiada wakil dari syarikat berkenaan tampil bertemu keluarga meskipun kejadian sudah enam bulan berlalu.
Abang sulung Allahyarham Nur Ain Fitriah Zakaria, Mohd Afiq Akmal, 27, berkata, setakat ini juga tiada sebarang pendakwaan dibuat ke atas pemandu lori berkenaan dan kes itu senyap begitu sahaja.
Iklan
Iklan
"Memang kami pasrah dengan ketentuan ALLAH SWT, saya kasihankan ummi (ibu) Rohaya Ibrahim, 53, yang masih sukar untuk melupakan peristiwa itu,” katanya.
Dalam kejadian jam 2 petang, 9 Jun lalu, kereta Perodua Myvi yang dipandu Nur Ain Fitriah, 25, bertembung dengan sebuah lori pasir tanpa muatan dipercayai memasuki laluan bertentangan.
Akibat perlanggaran itu, mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori tidak cedera.
Ketika kejadian, guru Bahasa Arab yang baru tiga bulan mengajar itu dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Agama (A) Al-Hidayah Al-Islamiah di Kampung Chap, Bekelam.
"Kami bukan nak pampasan tapi sekurang-kurangnya datanglah jumpa kami sekeluarga,” katanya.