MUAR - Gara-gara keluar simpang secara mengejut, seorang lelaki warga Myanmar maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Paya Panjang, Bukit Pasir di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, hasil laporan yang diterima daripada orang awam, kemalangan tersebut dipercayai berlaku pada jam 3.45 petang.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu treler yang berusia 27 tahun sedang memandu dari arah Pagoh menuju ke bandar Muar.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal yang ditunggang lelaki warga Myanmar berusia 26 tahun dilaporkan keluar secara mengejut dari persimpangan kiri jalan.
"Akibatnya, pemandu treler melanggar penunggang motosikal terbabit biarpun cuba mengelak termasuk menekan brek hingga menyebabkan lori treler berkenaan terbabas dan melanggar tiang elektrik,” katanya.
Tambah beliau, akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muar.
"Pemandu treler pula disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.