KOTA KINABALU - Dua himpunan yang dijangka diadakan pada masa dan tarikh sama iaitu Selasa depan di hadapan Menara Kinabalu perlu diberikan perhatian serius walaupun ia dirancang sebagai perhimpunan aman.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sekiranya benar seperti yang dipaparkan di media sosial dan sidang akhbar terdapat dua perhimpunan tersebut diadakan, ia dibimbangi berpotensi mencetuskan ketegangan antara dua kumpulan yang berhimpun.
"Ini sekali gus membuka ruang kepada provokasi melampau yang berkemungkinan boleh menjejaskan ketenteraman awam.
"Saya memahami bahawa kedua-dua perhimpunan tersebut mempunyai matlamat masing-masing dan membawa mesej penting untuk rakyat.
"Namun, semua pihak harus menilai dari setiap aspek termasuk kesannya terhadap keselamatan dan kestabilan Sabah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah menggesa pihak polis meneliti perkara tersebut secara mendalam dan mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini berlaku.
"Antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk pemisahan lokasi perhimpunan iaitu dengan membenarkan salah satu pihak memindahkan lokasi perhimpunan ke kawasan yang berbeza demi mengelakkan pertembungan fizikal antara kedua-duanya.
"Komunikasi dengan penganjur perlu diadakan di mana pihak polis perlu mengadakan dialog dengan kedua-dua penganjur bagi memastikan semua pihak mematuhi garis panduan undang-undang berkaitan perhimpunan aman seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Selain itu, meningkatkan langkah keselamatan dengan menempatkan lebih ramai anggota keselamatan di kawasan perhimpunan bagi mengawal situasi dan memastikan kelancaran kedua-dua acara," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu berkata lagi, keselamatan rakyat Sabah adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
"Saya menyeru semua pihak yang terlibat agar sentiasa menjaga keharmonian dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengganggu gugat kestabilan negeri.
"UMNO Sabah berdiri teguh dalam menyokong sebarang usaha yang bertujuan untuk membawa kebaikan kepada negeri ini, namun ia mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, selaras dengan undang-undang dan kepentingan awam," katanya.
Sebelum itu, difahamkan sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menggelarkan diri sebagai Suara Mahasiswa UMS merancang penganjuran Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah pada 31 Disember ini.
Selain itu, terdapat satu lagi himpunan tular di media sosial dan dianjurkan pihak berlainan dikenali sebagai Himpunan Aman Bangkit Sabahan diadakan pada hari yang sama sekitar jam 2 petang di hadapan Menara Kinabalu.