SHAH ALAM - Ekonomi gig bukanlah suatu perkara baharu di Malaysia, malah menjadi semakin popular terutama selepas negara dilanda pandemik Covid-19 pada tahun 2020.
Ketika itu banyak perniagaan dan perusahaan boleh dikatakan gulung tikar ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi mengelakkan wabak itu menular.
Rentetan pelaksanaan itu, ramai yang hilang pekerjaan serta punca pendapatan ekoran diberhentikan kerja, malah kerajaan terpaksa menyediakan pelbagai bantuan khas kepada rakyat bagi mengurangkan beban mereka yang terjejas.
Secara umumnya, industri tersebut merujuk kepada model pekerjaan fleksibel yang berasaskan tugas atau projek jangka pendek melibatkan platform digital.
Syarikat dan individu yang bergantung kepada teknologi dan platform digital, membuka peluang pekerjaan gig dalam bidang e-dagang, penghantaran makanan dan perkhidmatan logistik.
Ekonomi ini menjadi suatu trend pasaran bebas yang memberi kebebasan kepada syarikat untuk membina platform dengan tenaga kerja gig tanpa perlu menjadi pekerja sepenuh masa seperti mana yang ditakrifkan mengikut Akta Kerja 1955.
Menurut laporan Bernama sebelum ini, saiz pasaran ekonomi gig pada suku ketiga 2023 berjumlah RM1.33 bilion, mencapai kira-kira 80 peratus daripada saiz pasaran sepanjang tahun 2022 (RM1.63 bilion).
Pertumbuhan tersebut menunjukkan terdapat permintaan pasaran yang berterusan daripada segmen isi rumah dan perniagaan, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
RUU Pekerja Gig
Bagi memastikan keperluan pemain industri terpelihara, kerajaan bercadang memperkenalkan rang undang-undang (RUU) berkaitan kebajikan pekerja gig yang akan diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
Antara elemen yang terkandung dalam akta berkenaan termasuk jaringan keselamatan dalam kalangan pekerja industri serta perlindungan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan kos rawatan perubatan.
Selain itu turut diambil kira mengenai pampasan minimum dalam bentuk pendapatan kepada pekerja p-hailing dan e-hailing, definisi pekerja gig atau pekerja platform mekanisme aduan dan perlindungan keselamatan sosial terutama dalam hal insurans sosial dan pencen.
Walau bagaimanapun pada akhir November lalu, kerajaan bersetuju untuk menangguhkan RUU Pekerja Gig yang dijadual dibentangkan di Parlimen bulan depan.
Ia susulan gesaan beberapa platform ekonomi gig supaya kerajaan melaksanakan dialog kolaboratif sebelum penggubalan undang-undang berkenaan.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, keputusan itu diambil berikutan maklum balas daripada pihak berkepentingan serta keperluan untuk memastikan enakmen berikutnya meliputi semua sudut.
"Ia adalah undang-undang yang sama sekali baharu, jadi kami memerlukan lebih banyak masa kerana penggubalan yang sepatutnya bermula pada bulan Ogos,” katanya memetik laporan berita baru-baru ini.
Foodpanda, GoGet, Grab, Halo Delivery, Kiddocare dan Lalamove melalui satu kenyataan bersama menjelaskan, wujud kebimbangan industri kerana tidak diberi ruang untuk perundingan yang mana draf penuh cadangan pindaan tidak dikongsi selain proses maklum balas juga sangat terhad.
Pemegang taruh berpandangan, sesi perundingan yang komprehensif dan bersemuka perlu diadakan melibatkan syarikat platform, pekerja gig, ahli akademik dan pakar industri.
Pendekatan berfasa dan inklusif itu dijangka dapat memenuhi keperluan pelbagai segmen ekonomi gig serta mengelakkan masalah tidak diingini seperti cabaran dalam pelaksanaan dasar, ketidakcekapan, halangan pematuhan, peningkatan halangan kemasukan pekerja gig, gangguan perniagaan kepada vendor dan kos pengguna yang meningkat.
Mereka menegaskan akan kekal komited untuk mengadakan libat urus melalui dialog bersama kerajaan bagi menjayakan objektif diinginkan yang akhirnya memberi manfaat kepada semua golongan terlibat.
"Jadi kami percaya dengan mengadakan dialog bersama kerajaan dan melanjutkan tempoh masa sebelum RUU dibentang akan membantu merealisasikan usaha untuk memberikan manfaat kepada pekerja ekonomi gig,” menurut kenyataan bersama itu, baru-baru ini.
Sementara itu Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, bersama rakan-rakan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Rakan Penghantar turut bersetuju dengan cadangan untuk Kesuma mengadakan sesi dialog bersama pemegang taruh sebelum RUU tersebut dibentangkan di Parlimen.
Menurut kenyataan itu, pemegang taruh yang terlibat wajar diberikan peluang untuk memberi pendapat dan berdialog dengan Kesuma berkaitan RUU Pekerja Gig dan juga mekanisme pelaksanaan berkaitan.