PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim mempersoalkan tindakan penasihat Marcus Rashford selepas pemain itu membuat komen mengenai masa depannya di Old Trafford.
Rashford dalam temu bual baru-baru ini menyatakan mahu mencuba cabaran baharu selepas diketepikan daripada kemenangan Red Devils ke atas Manchester City awal bulan ini.
Selepas itu, pemain berusia 27 tahun tersebut telah diketepikan daripada tiga perlawanan terakhir Amorim, termasuk kekalahan kepada Tottenham Hotspur dan Bournemouth.
Amorim berkata, dia akan mengabaikan isu luar padang yang dibuat oleh mereka di sekeliling Rashford untuk membantu penyerang itu kembali ke prestasi terbaik.
"Ia situasi yang sukar. Saya faham pemain ini mempunyai ramai orang di sekeliling mereka, membuat pilihan yang bukan idea pertama daripada pemain itu.
"Mereka memilih untuk melakukan temu bual kerana ia bukan hanya Marcus. Pada masa ini, saya fokus untuk membantunya.
"Kami memerlukan pemain berbakat seperti Marcus dan saya telah melupakan temu bual itu," katanya.
United ketika ini berada di kedudukan ke-13 Liga Perdana Inggeris dan berharap untuk kembali ke landasan kemenangan menentang Wolverhampton Wanderes pada Jumaat.