PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menyifatkan Indra Putra Mahayuddin seorang pemain yang unik dan sukar ditemui di negara ini.
Menurutnya, peluang membimbing pemain itu ketika mengemudi Kelantan pada musim 2009/2010 lalu jelas menunjukkan Indra Putra sebagai seorang pemain yang memiliki komitmen tinggi terhadap dunia bola sepaknya.
Menurutnya, komitmen itu dapat dilihat menerusi tahap disiplin ditunjukkannya pada sesi latihan termasuk dalam perlawanan sebenar.
"Sepanjang mengenali Indra Putra, saya dapati dia seorang pemain yang betul-betul komited. Semasa latihan dan juga ketika bermain dia serius.
"Dia pemain yang mula-mula datang pada sesi latihan dan berlatih bersungguh-sungguh. Pada saya, dia boleh jadi role model terbaik kepada pemain muda.
"Sudah tentu kalau saya jurulatih, pasti saya berbangga kalau dia ada dalam pasukan saya,” katanya,” kepada Sukan Sinar.
Sathianathan berkata demikian bagi mengulas keazaman pemain skuad Liga Super, Kuala Lumpur itu yang mahu terus beraksi dalam kancah liga di negara ini.
Malah Indra Putra juga sebelum ini dikhabarkan bertekad untuk menjaringkan lebih banyak gol pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020.
"Pada usia 39 tahun, saya tidak lihat dia seakan mahu berhenti bermain. Dia kelihatan tidak pernah mahu berhenti dan dia telah berjaya jaringkan gol yang ke-100 dalam Liga Malaysia.
"Dia juga sentiasa diberi kepercayaan beraksi selama 90 minit. Bukannya sebagai pemain gantian atau beraksi selama 20 minit, 30 minit.
"Sebab itulah saya juga percaya, dia pasti mahu dan mampu menjaringkan lebih banyak gol musim ini,” ujar Sathianathan.
Sementara itu, Sathianathan menyifatkan gandingan Indra Putra bersama Shukor Adan sebagai gandingan yang perlu diberikan perhatian pasukan lawan. Katanya, kedua-dua pemain yang pernah beraksi bersama ketika mewakili skuad kebangsaan dan Felda United itu mampu memberikan semangat kepada pemain muda Kuala Lumpur.
"Saya lihat gandingan mereka ini sebagai gandingan mantap. Lagipun mereka sudah lama bermain bersama-sama,” katanya.