SHAH ALAM - Rata-rata pekerja dalam ekonomi gig menyambut baik usaha kerajaan mewajibkan majikan mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan kos rawatan perubatan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang bakal diperkenalkan kelak.
Langkah ini dilihat sebagai inisiatif positif dalam meningkatkan kesejahteraan pekerja gig yang sebelum ini tidak dilindungi sepenuhnya di bawah sistem keselamatan sosial negara.
Pekerja gig yang terlibat dalam sektor ekonomi yang tidak formal ini kini dapat menikmati faedah yang sama seperti pekerja tetap, termasuk pencarum KWSP untuk simpanan persaraan dan perlindungan daripada PERKESO sekiranya berlaku kecederaan atau kemalangan semasa bekerja.
Bagaimanapun, pelaksanaan dasar ini perlu diteliti dengan lebih mendalam terutamanya dari segi kesan terhadap majikan khususnya dalam sektor perusahaan kecil dan mikro.
Para majikan dalam sektor ini mungkin menghadapi cabaran untuk memenuhi kewajipan baharu yang diperkenalkan memandangkan mereka sering berhadapan dengan kekangan kewangan dan sumber yang terhad.
Pengimbangan antara perlindungan pekerja dan kelangsungan perniagaan adalah aspek penting yang perlu diberi perhatian, tanpa penyesuaian yang teliti, terdapat risiko perniagaan kecil mungkin terpaksa menaikkan kos atau mengurangkan peluang pekerjaan bagi menampung beban kewangan yang lebih tinggi.
Kejayaan pelaksanaan RUU ini bergantung kepada usaha kerajaan untuk menyediakan sokongan yang mencukupi kepada majikan termasuk insentif atau kemudahan yang boleh membantu mereka menyesuaikan diri dengan perubahan ini tanpa menjejaskan operasi perniagaan mereka.
Dengan pendekatan yang seimbang, langkah ini dijangka dapat memperkukuh keselamatan sosial pekerja gig, sekali gus memberi kesan positif kepada ekonomi negara secara keseluruhan.
Ketua Aktivis Gerakan E-Hailing Malaysia, Jose Rizal berkata, undangundang baharu ini mampu memberi keadilan kepada pekerja dalam beberapa perkara termasuk kadar upah yang diperolehi.
"Bagi penggiat ekonomi gig, perkara utama yang sering diperjuangkan adalah kadar upah yang adil serta perlindungan sosial.
"Kita tidak nafi kan inisiatif kerajaan sedia ada adalah yang terbaik setakat ini melalui caruman Perkeso, KWSP dan i-Saraan tetapi, sekiranya perkara ini tidak diletakkan di bawah satu undang-undang, tanggungjawab memenuhi keperluan itu akan diambil lewa,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu beliau berpandangan, kerajaan perlu mengambil kira serta memperincikan beberapa perkara lain menerusi libat urus bersama pemegang taruh pada masa akan datang.
Ini kerana menurutnya, RUU itu nanti akan mengiktiraf penggiat ekonomi gig yang semakin mendapat tempat dalam kalangan golongan muda.
"Industri gig masih tiada undang-undang yang berdiri dibelakangnya, sebab itu kita perlu adakan RUU ini supaya dapat meletakkan setiap tanggungjawab secara adil dan saksama kepada semua pihak.
"Perlu ada hitam putih (berkenaan) pihak mana yang kena laksanakan termasuk apa caj atau kadar sepatutnya dibayar pengguna untuk perkhidmatan diberikan,” ujarnya.
Sementara itu beliau berpendapat, RUU Pekerja Gig menjadi satu sandaran kepada pemain industri dalam memberi jaminan perkhidmatan lebih baik kepada pengguna.
Dengan adanya garis panduan yang bakal dipersetujui bersama, orang ramai akan lebih yakin dengan tahap keselamatan dan keselesaan sepanjang menggunakan perkhidmatan disediakan.
"Pihak pemandu dan rider perlu bertanggungjawab, dilatih dan sebagainya. Bukan kerana ada kereta, boleh jadi pemandu e-hailing dengan mudah.
"Jadi undang-undang ini perlu disusun atur dengan baik supaya imej negara tidak terkesan dengan kejadian di luar jangkaan terutama apabila melibatkan pelancong,” katanya.
Elak penindasan, eksploitasi pekerja gig
Pekerja produksi, Amerull Amen Muhammad Hassan berpandangan, undangundang tersebut akan meringankan beban kos yang ditanggung sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini sepanjang menjalankan tugas.
"Kalau pekerja nak mencarum KWSP dan PERKESO sendiri, perlukan disiplin yang tinggi dan jika majikan carum, sudah pasti lebih terjamin.
"Pekerjaan dalam bidang ekonomi gig juga ada risiko, jadi kami perlukan perlindungan yang boleh menjamin kelangsungan hidup sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini ketika bekerja,” kataya kepada Sinar Harian.
Pemuda berusia 29 tahun itu turut berpandangan, industri pekerjaannya ketika ini mudah terkesan sekiranya berlaku penularan wabak atau pelaksanaan Perintah Kawalan pergerakan (PKP) pada masa akan datang.
Malah Amerull Amen mengakui memerlukan satu pelan sandaran untuk lebih bersedia dengan sebarang kemungkinan.
"Perlu ada backup plan, sediakan simpanan secukupnya dan tidak terlalu boros supaya kurang terkesan sekiranya berlaku sekatan.
"Saya belajar dari pengalaman lepas yang mana terpaksa ambil inisiatif untuk berniaga kecil-kecilan seperti jual pek makanan tengah hari dan sebagainya.
"Kalau diwajibkan caruman majikan untuk pekerjaan seperti saya, masa depan lebih terjamin,” ujarnya.
Sementara itu, bagi penunggang p-hailing, Mohamad Faiz Abdullah, 25, RUU berkenaan dapat mencegah majikan daripada mengubah polisi secara tidak adil yang boleh menjejaskan pendapatan mereka.
Selain itu menurutnya, undangundang itu boleh menjadi saluran rasmi kepada mereka untuk membuat aduan terhadap majikan atau platform jaminan segala isu berbangkit dapat diselesaikan dengan adil dan saksama.
"Saya berharap agar pihak majikan saya bekerja sekarang, menyediakan insentif lebih baik kepada rider baharu yang terpaksa menanggung kos perbelanjaan peralatan untuk bekerja.
"Dari segi perlindungan keselamatan, mungkin boleh dipertimbangkan untuk majikan bekerjasama dengan syarikat insurans yang diiktiraf supaya rider dilindungi,” katanya.