Penduduk guna titi batang durian elak laluan jauh

Iklan
Titi batang durian yang dipasang penduduk bagi menggantikan jambatan runtuh.

KUALA KRAI - Penduduk Kampung Temalir dan Kampung Temalir Lama di sini sanggup bergadai nyawa dan tetap menggunakan titi kecil dari batang pokok durian yang dibina secara bergotong-royong Disember lalu.

Penduduk mendakwa, titi batang durian sepanjang kira-kira 12.8 meter itu lebih dekat daripada laluan alternatif yang mengambil masa antara 15 hingga 20 minit untuk sampai ke kampung berkenaan selain perlu melalui jalan rosak.

Iklan
Iklan

Ahdi Mustapa, 63, mendakwa, tapak pembinaan itu merupakan kawasan larangan tetapi penduduk melalui kawasan itu kerana lebih dekat dengan bandar.

"Sebelum ini penduduk membina dan membaik pulih sendiri jambatan lama secara bergotong-royong selepas banjir kerana tebing sungai runtuh dan jambatan rosak akibat arus sungai yang deras," katanya ketika ditemui di lokasi terbabit.

Iklan
Jambatan yang runtuh akibat arus sungai deras ketika banjir tiga minggu lalu dan diganti titi batang durian.

Tinjauan mendapati kawasan tapak pembinaan sudah dipasang papan tanda yang memaklumkan mengenai pembinaan jambatan menghubungkan Kampung Temalir Lama ke RPT Temalir Kuala Krai.

Papan tanda itu turut memaklumkan tarikh mula pembinaan pada 9 Mei 2024 dan dijangka siap 6 Mei 2026.

Iklan

Seorang lagi penduduk kampung berkenaan, Idris Isa, 43, mendakwa, pembinaan jambatan baharu mungkin tidak dapat dilakukan kerana musim tengkujuh.

Katanya lagi, jambatan lama pula ditenggelami banjir kira-kira lima meter pada 27 November lalu dan arus deras sungai itu mengakibatkannya runtuh.

"Kira-kira 30 penduduk membina titi yang siap dalam tempoh dua hari termasuk memasang buluh sebagai pemegang bagi memudahkan mereka menyeberangi sungai," katanya.

Kawasan pembinaan yang dilarang dimasuki penduduk.

Idris berkata, penduduk sanggup meninggalkan motosikal mereka di seberang jambatan dan melintasi titian sementara itu.

"Kami berharap jambatan dapat disiapkan dengan segera," katanya.

Sementara itu, pelajar dari Kampung Temalir Lama, Muhammad Nur Hakimi Abdullah, 15, pula memberitahu titi batang durian itu memudahkannya untuk keluar membeli barangan keperluan harian ibunya.

"Kami menggunakan titi yang dibina dua minggu lalu dan memang memudahkan," katanya.