SHAH ALAM - Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig dapat memberikan impak positif terhadap pertumbuhan dan daya saing ekonomi gig dengan menjadikannya lebih baik, kompetetif serta terjamin.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Profesor Dr Baharom Abdul Hamid berkata, pada masa kini, pekerjaan tersebut sering dianggap sebagai tempat persinggahan sebelum menerima pekerjaan lain atau melakukannya untuk separuh masa bagi menambah pendapatan.
Menurutnya, ia boleh menjadi salah satu peluang pekerjaan yang bakal memberikan pulangan setimpal untuk jangka masa panjang apabila sektor itu diperkasakan.
"Apabila RUU ini digubal, bagi saya kebaikan dan manfaat yang akan diperoleh lebih banyak berbanding kesan negatif, salah satunya akan menjadikan daya saing ekonomi gig lebih kompetitif.
"Jika kita sebut gig, kita tidak boleh fikir hanya mengenai pemandu p-hailing dan e-hailing sahaja kerana ia jauh daripada itu.
"Realiti masyarakat sekarang bekerja dalam sektor tersebut kerana tiada pekerjaan lain, untuk menambah pendapatan sampingan, telah menamatkan pengajian di universiti dan sebagainya, jadi ia dianggap sementara kerana tidak menjamin masa depan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad sebelum ini dilapor berkata, satu draf RUU mengenai kumpulan pekerja sektor ekonomi gig akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan Disember.
Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Steven Sim Chee Keong dalam mesyuarat pada 22 November berkata, kerajaan bersetuju untuk menangguhkan Pembentangan RUU berkenaan.
Mengulas lanjut, menurut Baharom, tidak dapat dinafi kan bahawa akan berlaku sedikit peningkatan kos sekiranya oleh dibuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) oleh majikan kepada pekerjanya menerusi penggubalan akta berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, pekerja gig yang menerima caruman tersebut akan berasa selesa dan sedikit terjamin seterusnya meningkatkan produktiviti kerja mereka.
"Jadi, siapa yang akan menikmati produktiviti meningkat? Sudah tentu majikan. Bagi saya peningkatan kos ialah kesan negatif jangka pendek tetapi impak positif yang agak lestari jangka masa panjang.
"Selain itu, negara kita sebenarnya agak terlewat kerana kalau dilihat di kebanyakan negara seperti Amerika Syarikat (AS) telah mengiktiraf pekerja gig lebih 10 tahun dahulu dan golongan ini sudah dikawal atau dilindungi oleh akta pekerja.
"Tetapi di Malaysia mereka tidak boleh bawa isu ke pejabat buruh jika ada masalah, tidak mendapat hak perubatan dan sebagainya kerana mereka tidak diiktiraf sebagai pekerja,” ujarnya.
Tambah Baharom, ekonomi gig boleh menjadi penggerak utama yang menyebabkan sektor lain seperti perdagangan, peruncitan, makanan dan sebagainya berfungsi dengan baik.
Ujar beliau, sekiranya sektor ekonomi gig dijaga, limpahan tersebut akan dinikmati bersama oleh sektor berkenaan.
"Kita tahu sekarang ini, pekerja ekonomi gig sukar membuat pinjaman, pembiayaan kenderaan serta perumahan disebabkan dokumen yang diperlukan melibatkan pendapatan, tabungan KWSP dan sebagainya.
"Jadi, apa yang kita perlu buat ialah regulasikan sektor gig ini dan akhirnya boleh menjadi penggerak utama kepada sektor-sektor lain.
"Penggubalan RUU ini menjadi satu permulaan untuk kita memperkasakan sektor ekonomi gig yang sekarang ini dianggap picisan kerana tidak ada yang mengiktiraf mereka dan tiada perkembangan kerjaya sebab masih di tempat sama walaupun sepuluh tahun akan datang,” katanya.
Buat rundingan bersama sebelum bentang RUU Pekerja Gig
Kerajaan perlu mengadakan perundingan yang komprehensif dan menyeluruh bersama pihak yang berkepentingan termasuk majikan sebelum membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig.
Platform perkhidmatan dan penjagaan kanak-kanak, Kiddocare berkata, pendekatan itu bagi memastikan objektif pihaknya dapat digabungkan dengan proses perundangan yang baharu.
"Kami menyokong perundingan yang lebih komprehensif dan bersemuka yang melibatkan pekerja gig, syarikat platform dan pakar yang berkaitan agar objektif kami bersesuaian dengan akta tersebut.
"Perundangan yang berkesan berpunca daripada ketelusan dan usaha kolaboratif, maka perlunya perkongsian draf RUU serta penubuhan mekanisme maklum balas yang mantap.
"Amalan sedemikian akan menyumbang kepada peraturan yang bermaklumat dan boleh diambil tindakan yang memenuhi kepentingan terbaik semua pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, menurut Kiddocare, pihaknya telah mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan jaringan keselamatan sosial untuk pekerja dan pelanggan dengan menyediakan perlindungan insurans ketika perkhidmatan.
Menurutnya, langkah tersebut berikutan usaha platform Kiddocare untuk menjaga kesejahteraan dan keselamatan komuniti melibatkan perlindungan sosial dalam ekonomi.
"Walaupun kami menyokong ketersediaan perlindungan sosial sukarela, kami tetap mendidik penjaga dan memudahkan akses mereka kepada program yang meningkatkan kesejahteraan dan keselamatan tanpa menjejaskan autonomi dan fleksibiliti mereka.
"Kami memahami keperluan mendesak dalam menangani keperluan pekerja gig tetapi kami berhati-hati terhadap penggubalan RUU secara tergesa-gesa tanpa perundingan dan pertimbangan yang mencukupi.
"RUU yang tergesa-gesa boleh membawa kepada akibat yang tidak diingini yang boleh menjejaskan objektif ingin dicapai,” ujarnya.