KOTA BHARU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memindahkan seekor harimau kumbang di Kampung Gua, Paloh 1, Gua Musang pada 23 Disember lalu.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, tindakan diambil susulan aduan penduduk dan terus memasang perangkap pada Ahad di lokasi.
Menurut beliau, operasi memindahkan harimau itu dilakukan kira-kira jam 12 tengah hari membabitkan enam anggota Perhilitan daerah Kuala Krai dibantu oleh kakitangan Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Gua Musang.
"Haiwan itu dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Relai yang hampiran Kampung Gua, Paloh 1, Gua Musang untuk mencari makanan," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Jelas beliau, harimau berkenaan dipindahkan ke habitat yang lebih sesuai dan selamat.
Mohamad Hafid memberitahu, tangkapan harimau kumbang itu dapat meredakan keresahan penduduk kampung terhadap keselamatan mereka.
Katanya lagi, khidmat nasihat dan langkah mitigasi diberikan kepada penduduk kampung supaya membersihkan kawasan semak di sekitar kampung dan kebun.
"Mereka turut dinasihatkan sentiasa berteman ketika memasuki kebun selain memasang lampu di sekeliling luar rumah pada waktu malam," katanya.
Tambah beliau, orang ramai juga disarankan supaya lebih berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Perhilitan melalui talian Hotline 1-800-88-5151 atau eaduan di laman web www.wildlife.gov.my.