SHAH ALAM - Acara lelongan awam barangan milik pelakon, Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta ditunda ke satu tarikh baharu yang bakal dimaklumkan kelak.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh sumber daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara), namun tidak memaklumkan sebab ia ditangguhkan.
"Saya difahamkan acara lelongan barangan Che Ta pada hari ini (Selasa) ditunda. Saya tiada maklumat lanjut mengenainya (sebab acara ditunda),” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa.
Acara lelongan awam yang sepatutnya berlangsung pada Selasa membabitkan sebanyak 34 barangan dianggarkan bernilai RM902,012.46 termasuk sebuah kenderaan jenis Haval.
Selain kenderaan, terdapat beberapa barangan elektronik milik Che Ta seperti peti ais, pendingin hawa, ketuhar gelombang mikro, mesin basuh, mesin pengering, penyedut hampagas dan televisyen.
Bahagian undang-undang Mara sebelum ini dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap Che Ta dan anak sulungnya, Ammar Effendy yang gagal membayar pinjaman hampir RM1 juta sejak 2017.
Langkah itu adalah prosedur susulan yang dilakukan terhadap selebriti itu selepas dia gagal melunaskan hutangnya dalam tempoh tujuh tahun walaupun pelbagai usaha diambil Mara bagi mendapatkan semula wang berkenaan hingga membawa kes itu ke mahkamah.