Nahas 5 kenderaan: Suasana pilu selubungi Hospital Melaka

Iklan
Sebahagian waris kemalangan tujuh maut yang berada di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Melaka.

MELAKA - Suasana pilu menyelubungi pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka di sini pada Selasa, sebaik sahaja ahli keluarga mangsa kemalangan maut membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara di sini, tiba.

Bukan sahaja tangisan sebak yang kelihatan, malah ada yang terpaksa dipapah ahli keluarga masing-masing kerana gagal membendung kesedihan.

Iklan
Iklan

Tinjauan mendapati keluarga waris lima penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang terlibat kemalangan itu antara yang pertama tiba iaitu sekitar jam 2 pagi.

Seorang waris yang mahu dikenali sebagai Syed, 61, dari Sungai Udang berkata, dia bergegas ke hospital selepas mengetahui berita anak saudaranya, Khairul Ikhwan Mazupi, 32, dan isteri, Fadzlenna Ramli, 32, serta anak bongsu, Muhammad Umar dua tahun maut dalam kemalangan itu.

Iklan
Bapa Allahyarham Khairul Izwan Mazupi, 32, Datuk Mazupi Abdul Rahman yang juga pesara polis menunjukkan gambar kenangan arwah sekeluarga ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka pada Selasa.

"Saya baharu berjumpa mereka sekeluarga pada majlis perkahwinan sepupu Khairul Ikhwan di Cyberjaya Sabtu lalu.

"Kejadian ini amat menyedihkan kami semua, apatah lagi saya masih terbayang-bayang keletah anak bongsunya. Maklumlah baru sangat berjumpa, tapi ini semua ketentuan ALLAH," katanya.

Iklan

Menurutnya, dia mengetahui pasangan itu yang masing-masing bekerja sebagai pembantu perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Serdang datang ke Melaka untuk majlis perjumpaan keluarga.

Bagaimanapun ujarnya, dia tidak berkesempatan untuk turut serta kerana majlis itu membabitkan keluarga sebelah isteri.

"Saya difahamkan mereka dalam perjalanan pulang dari Melaka," katanya.

Seorang lagi waris yang mahu dikenali Pak Jat berkata, dia bersyukur anak saudaranya, Mohamad Syafiq Mohd Zuki, 27, yang memandu treler terselamat dalam kemalangan terbabit.

Katanya, mangsa sedang dirawat di Zon Kuning dan mengalami patah paha akibat tersepit dalam treler yang remuk.

"Dia (Mohamad Syafiq) kata tak boleh nak buat apa, tiba-tiba bas terbabas dan merempuh treler dipandunya bersama rakan kelindan.

"Dia dalam perjalanan dari Skudai selepas hantar buah-buahan dan bawa balik muatan pakaian bundle," katanya.

Ibu Allahyarham Khairul Izwan Mazupi,Wan rosmini wan Hassandipeluk ahli keluarga sebaik tiba di JabatanPerubatan Forensik Hospital Melaka di sini, pada pagi Selasa.

Sebelum ini media melaporkan, tujuh maut termasuk bayi lelaki dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di lokasi.

Kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu melibatkan sebuah bas persiaran, treler membawa muatan guni pakaian bundle, kenderaan pelbagai guna(MPV) jenis Toyota Estima yang dinaiki lapan sekeluarga serta dua lagi kenderaan.