LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menghulurkan bantuan kepada seorang nelayan warga Thailand yang tercedera di kedudukan 53 batu nautika barat laut Pulau Pangkor pada Isnin.
Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, mangsa, Bunkrong, 59, dilaporkan patah kaki kanan ketika melakukan rutin kerja harian di atas vesel sekitar jam 7.40 pagi.
"Maritim negeri telah menggerakkan aset ke lokasi kejadian bagi bantuan pemindahan mangsa dari vesel ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Kampung Acheh.
"Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan dan dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Menurut beliau, mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil.
Maritim Malaysia meminta kerjasama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan Malaysia melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737.