SHAH ALAM - Pihak berkuasa digesa menubuhkan pasukan petugas khas dengan segera bagi menyiasat kejadian melibatkan kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di Ayer Keroh pada Isnin secara lebih terperinci.
Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ia berikutan siasatan awal mendapati insiden tersebut berpunca daripada tayar hadapan sebelah kanan lori yang terlibat tercabut dan berada di tengah lebuh raya.
Menurutnya, penubuhan pasukan itu penting bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
"Takziah buat ahli keluarga kepada mangsa yang terlibat dalam kemalangan malam tadi. Kejadian ini amat menyayat hati seluruh rakyat Malaysia termasuk saya.
"Saya berharap pihak yang berkenaan segera tubuhkan taskforce atau pasukan khas bagi menyiasat kejadian ini secara terperinci,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan tujuh maut termasuk bayi berusia dua tahun dalam kemalangan melibatkan sebuah bas pelancong, treler membawa muatan guni pakaian bundle dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dinaiki lapan sekeluarga.
Presiden MCA yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam itu turut mengulas mengenai laporan khas yang disiarkan Sinar Harian pada Isnin berhubung kemalangan maut membabitkan kenderaan berat wajar dipandang serius.
"Sebanyak 825 kemalangan maut melibatkan lori direkodkan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini dengan purata nahas 3 lori dalam sehari seperti yang didedahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam laporan ini sangat membimbangkan,” katanya.